ROSE ingin terus memperbaiki skil lakonan.
ROSE ingin terus memperbaiki skil lakonan.
Syafil Syazwan Jefri


NAMA Sharifah Rose bukan lagi asing buat peminat dan penonton setia drama di kaca TV.

Memulakan langkah sebagai pelakon menerusi drama bersiri Kekasih Hati Mr Bodyguard, nama Rose kini semakin menyinar dan mendapat tempat di hati peminat.

Berkesempatan menemu bual pelakon berusia 24 tahun itu baru-baru ini, Rose atau nama sebenarnya Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira berkongsi perjalanan kariernya di peringkat awal sangat mencabar akibat kecaman netizen.

"Ketika di awal kemunculan dulu, saya menerima pelbagai kritikan. Setiap orang ada pendapat masing-masing, jadi ada antaranya yang boleh ditimbang tara untuk penambahbaikan.

"Sepanjang perjalanan dalam karier ini, saya belajar untuk tidak terlalu 'termakan' dengan kritikan di media sosial.

"Ada kritikan yang niat mereka adalah untuk bantu kita sebab mereka nampak salah yang kita sendiri tak nampak.

"Tapi, ada juga kritikan yang saya sendiri tak tahu asal usulnya. Jadi, yang begini, saya akan elakkan dan tidak terlalu hiraukan," katanya.

Pernah dilabel sebagai pelakon 'kayu', Rose tidak menafikan dirinya terkesan dengan kecaman itu, namun dia enggan berhenti, sebaliknya menjadikan kecaman sebagai pembakar semangat.

"Kritikan paling teruk saya pernah terima adalah ketika pertama kali 'teaser' drama Kekasih Hati Mr Bodyguard muncul di media sosial.

ROSE jadikan kecaman sebagai pembakar semangat.
ROSE jadikan kecaman sebagai pembakar semangat.

"Rata-rata melemparkan kecaman dengan mengatakan lakonan saya 'kayu' (kaku). Saya bersetuju dengan pendapat mereka sebab pada waktu itu, saya sendiri pun belum selesa melakonkan watak sebagai heroin," katanya.

Tambah Rose, dia turut terbaca kecaman yang mempersoal keberadaannya dalam industri seni lakon tanah air.

"Ada juga yang mengatakan bahawa saya tak layak untuk masuk dalam industri seni lakon tanah air.

"Tetapi, saya jadikan kata-kata itu sebagai pembakar semangat untuk buktikan bahawa bakat itu boleh diasah," katanya.

Kejayaan drama bersiri dibintangi itu, bagaimanapun berjaya membuktikan bahawa dia mampu memperbaiki teknik lakonannya dari masa ke semasa.

"Alhamdulillah drama lakonan saya itu mendapat sambutan menggalakkan dan ia menjadi satu kepuasan buat saya secara peribadi.

"Itu juga membuktikan bahawa kita patut buka peluang dan ruang kepada pendatang baharu sebab setiap perkara atau pekerjaan, ada prosesnya. Bukan kita datang saja terus jadi hebat," katanya.

Menjadikan lakonan sebagai satu proses belajar yang tidak pernah berhenti, Rose melihat prestasinya sebagai pelakon menunjukkan perkembangan positif.

"Sepanjang perjalanan ini juga, saya melihat kerjaya lakonan sebagai satu proses pembelajaran yang takkan habis.

"Setiap kali saya lakonkan sesuatu watak, saya rasa dah berikan yang terbaik. Tetapi, bila dah tonton semula, saya rasa ia boleh dibuat lagi dengan lebih baik.

"Saya mungkin bukan pelakon yang bagus dalam industri hari ini, tetapi apa yang boleh dijanjikan adalah saya akan cuba untuk berikan yang terbaik. Kalau tanya mengenai perkembangan prestasi kerjaya, saya rasa ia semakin bertambah baik sekarang," katanya.

Rose juga bersyukur kerana keberadaannya turut mendapat sokongan dan bantuan nasihat daripada rakan-rakan pelakon serta kru produksi.

"Saya juga bersyukur kerana mendapat bantuan dan nasihat banyak pihak. Daripada pelakon senior sehingga kru yang tak henti membantu.

"Saya pun menebalkan muka untuk kerap bertanya sekiranya ada perkara yang saya rasa kurang jelas. Antara yang banyak membantu saya adalah Redza Rosli yang berjaya melembutkan 'kayu' yang keras ini," katanya.

Ditanya mengenai matlamatnya, sama ada mengejar anugerah atau apa-apa penghargaan, Rose lebih selesa memuaskan hatinya menerusi sambutan penonton terhadap karya dilakonkan.

"Kalau berbicara mengenai anugerah, saya rasa setiap pelakon tentunya menyimpan angan-angan untuk menggenggam sekurang-kurangnya satu anugerah.

"Tapi, bagi saya itu bukan kayu pengukur sebab setiap watak yang digalas dan penerimaan baik daripada penonton juga sudah cukup memuaskan hati saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 7:00 AM