Ridzuan Abdul Rahman


DIAM tak diam, drama bersiri 33 episod berjudul Kekasih Hati Mr Bodyguard akan melabuhkan tirai menerusi slot Lestary TV3, jam 9 malam ini. Sudah tentu ia sedikit sebanyak meninggalkan kesan buat pelakon utamanya Sharifah Rose.

Rose, 23, yang memegang watak Aralyn tanpa berselindung mengakui sedih terpaksa mengakhiri hubungan dengan cerita terbabit.

"Kekasih Hati Mr Bodyguard adalah 'baby' pertama saya. Apabila tinggalkan set hari terakhir pun rasa sangat sebak kerana saya dengan pasukan produksi memang agak rapat. Setiap hari saya pun jumpa orang yang sama. Jadi saya rasa sedih kerana selepas ini tak dapat bersama lagi. Selain itu, saya juga dah terbiasa dengan watak Aralyn setiap hari.Terasa macam sedih nak tinggalkan watak itu," katanya.

Rose berkata, banyak pengalaman menarik dilalui sejak hari pertama membintangi drama ini dan episod kesembilan paling meninggalkan kesan terhadapnya.

"Ia paling menarik kerana saya diculik oleh Mama Vanida (Lana Nodin). Babak ini amat berat bagi saya. Perasaan ketika itu amat gementar nak buat babak itu takut tak sampai. Alhamdulillah, babak itu yang meletupkan cerita ini. Memang seronok dapat berlakon dengan pelakon yang hebat seperti Redza Rosli dan Lana," katanya.

Rose atau nama sebenarnya Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira bermula sebagai pempengaruh (Instafamous) dan mula melangkah kaki dalam industri lakonan pada awal Mac tahun ini.

BABAK lakonan Rose dalam Kekasih Hati Mr Bodyguard.
BABAK lakonan Rose dalam Kekasih Hati Mr Bodyguard.

Akuinya, penerimaan peminat mulanya agak susah dan dia menerima banyak kritikan dan kecaman.

"Alhamdulillah, keadaannya berbeza dengan sekarang. Dah nak tamat drama ini, ramai yang mula terima saya dalam industri. Dari kecaman dan kritikan yang negatif, semuanya kini bertukar positif. Banyak yang bagi sokongan dan alhamdulillah banyak perubahan dari drama ini.

"Saya mula perasan masuk sahaja episod enam ke atas, penerimaan peminat terhadap saya mula ada perubahan positif," katanya.

Menurutnya, mereka mula memberikan sokongan dan paling mengejutkan cerita ini trending dan mendapat rating tinggi sehingga disambung musim kedua.

"Semasa dapat tawaran musim kedua, saya macam terkejut kerana mulanya mereka tak terima kehadiran saya. Namun selepas itu ada perubahan. Apapun saya gembira kerana penat lelah kami satu pasukan yang tak cukup rehat dan tiada cuti sepanjang penggambaran selama tiga bulan berbaloi apabila drama ini diterima.

MAHU menjadi pelakon yang berkarisma dalam bidang seni tanah air.
MAHU menjadi pelakon yang berkarisma dalam bidang seni tanah air.

"Apabila dapat sokongan peminat saya sangat rasa gembira dan rasa hargai. Kepuasan berlakon mula dirasai dan saya mula minat dan cintakan lakonan," katanya.

Bagi Rose, banyak lagi yang perlu dia belajar dan perbaiki.

"Setakat ini saya rasa sangat gembira macam mana saya bawa watak Aralyn. Rasa seperti kena sangat dengan watak itu.

"Selepas ini saya idamkan watak psiko atau komedi ringan kerana Aralyn banyak main dengan emosi dan aksi.

"Mungkin lepas ini saya nak buat genre romantik komedi. Sebelum masuk set, saya sempat pergi kelas sehari dengan Ellie Suriaty," katanya.

Dia bercadang untuk terus mengikuti kelas lakonan selepas ini kerana mahu banyak lagi belajar mengenai lakonan.

"Saya akan buat lagi bagus. Sasaran saya nak jadi pelakon yang berkarisma, boleh bawa macam-macam karakter dan bukan hanya satu karakter.

"Seorang yang saya sering perhatikan ialah Nabila Huda. Macam-macam watak dia boleh bawa. Saya nak jadi macam dia boleh tukar-tukar watak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 6:00 AM