Kamarudin Sidek. FOTO arkib NSTP
Kamarudin Sidek. FOTO arkib NSTP
Amir Mamat


Melaka: Pas negeri bersedia untuk menarik diri jika pertandingan di satu-satu kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) berlaku pertandingan tiga penjuru.

Pesuruhjayanya, Datuk Kamarudin Sidek berkata, meskipun akur dengan keputusan penggunaan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pihaknya tetap berusaha memastikan tidak akan berlaku pertandingan tiga penjuru.

"Pas Melaka akur kerana PN sudah didaftarkan sebagai sebuah parti politik, manakala Muafakat Nasional (MN) pula tidak didaftarkan.

"Tetapi PN dan BN sepakat satu lawan satu, tiada pertembungan kerusi. (Namun) jika berlaku juga (pertembungan kerusi), Pas akan mengambil sikap menyokong penyandang kerusi yang menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja parti itu meluluskan penggunaan lambang PN dalam PRN Melaka.

Ketetapan itu mengambil kira panduan yang diberikan Majlis Syura Ulama Pas yang bersidang pada 31 Oktober lalu dan selaras dengan Peruntukan Fasal 84 Perlembagaan Pas.

Umno Melaka pula dilaporkan hanya akan bekerjasama dengan Pas pada PRN dalam usaha memperkukuhkan lagi MN, sekali gus menolak kerjasama dengan Bersatu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 1:00 PM