FARISHA Iris.
FARISHA Iris.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Farisha Iris menafikan bekas teman lelaki yang bermula huruf N yang didedahkannya pada konsert penyanyi Indonesia, Raisa, Ahad lalu adalah pelakon Niezam Zaidi.

Farisha berkata, apa yang diluahkan ketika pertemuan secara langsung dengan Raisa hanyalah secara spontan demi bertemu penyanyi pujaannya itu secara dekat.  

"Pada hari kejadian saya antara peminat yang paling kecoh. Jadi ketika Raisa bercerita mengenai lagu Mantan Terindah dan mahu bersembang dengan peminat, saya tawarkan diri kerana yang lain tidak angkat tangan. 

"Ketika di atas pentas dia tanya adakah saya memiliki bekas teman lelaki, dengan spontan saya beritahu baru putus dua hari lepas kerana bekas teman lelaki ingin bertaubat.

"Malah jejaka N yang disebut juga bukan sesiapa. Pada masa itu, hanya ada dua nama bermula huruf N yang saya belum membaca mesej di WhatsApp iaitu Niezam Zaidi dan Nureen Nabila, jadi dia pun hubungi Niezam kerana itu saja nama lelaki yang tertera.

"Sebenarnya apa yang saya luahkan itu tidak betul. Saya hanya main cakap saja sebab nak jumpa dia (Raisa). Tiada istilah baru putus cinta, atau sedang bercinta," katanya. 

Farisha ditemui ketika hadir menemani Niezam Zaidi pada majlis tayangan perdana filem Remp-it 2 di Dadi Cinema malam tadi. 

Malah, kehadiran Farisha pada majlis tayangan filem itu seakan-akan mengesahkan hubungan di antara mereka. 

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai status hubungannya dengan Niezam, Farisha berkata, mereka hanya berkawan rapat.

"Saya memang tiada apa-apa hubungan dengan Niezam. Kami hanya berkawan rapat dan saling menyokong antara satu sama lain. 

"Sekarang ini fokus saya adalah terhadap pelajaran. Kalau ada perkara baik, saya akan kongsikan,"katanya. 

Terdahulu tular video Farisha yang mendedahkan baru putus cinta dengan teman lelakinya yang dilaporkan ingin bertaubat ketika berpeluang bersama penyanyi Raisa pada konsert yang berlangsung di Zepp KL, Ahad lalu. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 2:52 PM