ANTARA aksi Alcaraz ketika bertemu Auger-Aliassime. FOTO REUTERS
ANTARA aksi Alcaraz ketika bertemu Auger-Aliassime. FOTO REUTERS
AFP

Paris: Carlos Alcaraz mempamerkan prestasi terbaiknya untuk membuat perhitungan dengan Stefanos Tsitsipas di suku akhir Terbuka Perancis, manakala Iga Swiatek meningkatkan usaha untuk meraih gelaran Roland Garros ketiga berturut-turut menerusi kemenangan pantas hanya 40 minit sahaja.

Alcaraz berkata dia lebih mengenali dirinya di Paris selepas persiapannya terganggu berikutan kecederaan yang menyebabkannya terpaksa berehat kerana sakit di lengan selama hampir sebulan.

Kemenangan 6-3, 6-3, 6-1 ke atas pilihan ke-21 dari Kanada, Felix Auger-Aliassime, menunjukkan dia sedang berada di tahap terbaik untuk mara ke suku akhir tahun ketiga berturut-turut.

"Saya sangat gembira dengan prestasi saya. Saya rasa saya bermain pada tahap yang sangat tinggi," kata Alcaraz, yang tewas kepada juara bertahan, Novak Djokovic di separuh akhir tahun lalu.

"Permainan saya semakin baik dan lebih baik. Keyakinan saya semakin tinggi. Setiap latihan yang saya lakukan atau setiap hari saya di sini di Roland Garros, saya merasa semakin baik," katanya lagi.

Alcaraz akan berdepan Tsitsipas selepas naib juara Roland Garros 2021 itu menewaskan Matteo Arnaldi dari Itali 3-6, 7-6 (7/4), 6-2, 6-2.

Terdahulu, pemain nombor satu dunia wanita, Iga menumpaskan Anastasia Potapova dari Rusia 6-0, 6-0, perlawanan terpendek dalam kariernya.

"Saya benar-benar fokus dan berada di zon selesa. Saya tidak melihat pungutan mata, saya terus fokus kepada permainan saya.

"Ia berjalan dengan cepat... agak pelik," kata Swiatek.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2024 @ 9:17 AM