VINICIUS mengucup trofi Liga Juara-Juara selepas membantu pasukannya menewaskan Dortmund di pentas final. FOTO AFP
VINICIUS mengucup trofi Liga Juara-Juara selepas membantu pasukannya menewaskan Dortmund di pentas final. FOTO AFP
Reuters

Madrid: Penyerang Real Madrid, Vinicius Jr meletakkan dirinya selaku pilihan utama untuk memenangi anugerah Ballon d'Or bagi pemain terbaik di dunia sekali gus berpeluang menambah koleksi trofinya selepas menjaringkan gol di final Liga Juara-Juara, semalam.

Pemain Brazil itu menjaringkan gol kedua Real Madrid ketika menentang Borussia Dortmund di Wembley sekali gus memastikan kemenangan 2-0 dan mahkota Eropah ke-15 untuk gergasi Sepanyol itu serta menutup satu lagi musim yang cemerlang bagi pemain berusia 23 tahun itu.

"Ballon d'Or! Vinicius Jr baru sahaja memenangi Ballon d'Or," kata bekas pemain pertahanan England, Rio Ferdinand ketika menjadi pengulas di televisyen selepas Vinicius meraikan jaringannya.

"Dia sudah memenangi Ballon d'Or sekarang. Pada saat-saat penting dalam Liga Juara-Juara musim ini, Vinicius Jr tampil cemerlang," katanya lagi.

Selepas membantu Real memenangi Piala Eropah ke-14 dengan menewaskan Liverpool di Paris dua tahun lalu, Vinicius menamatkan kempen kali ini dengan menyumbang enam gol dalam Liga Juara-Juara dan 15 gol dalam LaLiga, yang juga dimenangi oleh Real.

Dengan jumlah keseluruhan sebanyak 24 gol dalam semua pertandingan, ia menyaksikan musim paling produktif untuk pemain Brazil itu sejak dia menandatangani kontrak dari Flamengo pada tahun 2018.

Dalam tempoh itu, dia sudah memenangi tiga gelaran LaLiga, dua Liga Juara-Juara, satu Piala Sepanyol dan dua Piala Dunia Kelab.

"Vinicius untuk Ballon d'Or? Tidak perlu dipersoalkan lagi," kata pengurusnya, Carlo Ancelotti, kepada wartawan selepas tamat perlawanan.

Satu lagi calon utama untuk anugerah itu ialah pemain tengah Real, Jude Bellingham, yang mengharungi musim luar biasa di Madrid sejak perpindahannya bernilai 103 juta euro (RM526 juta) dari Dortmund tahun lalu.

Pemain berusia 20 tahun dari England itu melangkau jangkaan apabila membantu pasukannya merangkul gelaran liga Sepanyol ke-36, dengan menjaringkan 19 gol untuk menamatkan musim lalu sebagai penjaring ketiga terbanyak dalam LaLiga, setanding dengan penyerang Barcelona, Robert Lewandowski.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2024 @ 8:08 AM