Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dibungkus dalam bentuk gula-gula, serbuk teh, jus minuman dan ubat perangsang dalam botol air mahupun peket.

Itu modus operandi terbaharu sindiket pengedaran dadah yang cuba untuk mengelirukan pihak berkuasa dan 'meracun' penagih dadah baharu.

Idea 'kreatif' pembungkusan yang dilakukan ahli sindiket dadah itu bukan sahaja untuk mengaburi pihak polis, malah ia juga bertujuan untuk menarik minat golongan muda bagi mencuba pebagai jenis dadah.

Antara jenis dadah yang dibungkus menggunakan bungkusan gula-gula ialah serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), ganja dan pil Erimin 5.

Menjelaskan perkara itu, Presiden Pengasih Malaysia (Pengasih) Ramli Abdul Samad berkata, taktik berkenaan kini sering digunakan sindiket pengedaran dadah bagi mengelirukan pihak berkuasa mahupun untuk 'menarik' golongan penagih baharu.

"Sebagai contoh, jika rakan sebaya mereka menghulur dalam bentuk dadah, sudah pasti tidak ada rasa keinginan untuk mencuba (kerana akan ketagih).

ANTARA dadah yang dirampas yang dibungkus dalam bungkusan gula-gula serta serbuk minuman.
ANTARA dadah yang dirampas yang dibungkus dalam bungkusan gula-gula serta serbuk minuman.

"Namun, jika rakan mereka menghasut menggunakan bungkusan yang menarik perhatian seperti bungkusan gula-gula dan jus minuman, perasaan ingin tahu dan ingin mencuba semakin kuat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ramli berkata, selain itu, bungkusan yang menarik perhatian ini akan memudahkan mereka mengedarkan dadah.

"Jika diletakkan dalam bungkusan biasa sudah pasti kegiatan mereka dapat dihidu, disebabkan itu sindiket mengubah taktik dengan membungkus semula dadah dalam bungkusan yang menarik.

"Tetapi, masyarakat perlu diberi pendedahan berhubung bungkusan ini supaya tidak terperdaya dengan taktik licik sindiket," katanya.

Katanya, kebanyakan penagih dadah di pusat pemulihan milik Pengasih bermula dengan mencuba kerana perasaan ingin tahu terlalu kuat.

"Mereka tertarik dengan bungkusan dadah seperti berbentuk gula-gula, coklat, serbuk teh, jus minuman dan pelbagai lagi.

"Lama-kelamaan mereka akan ketagih sehingga tidak dapat dikawal dan boleh memberikan kesan terhadap kesihatan mental," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 12:00 PM