UBAT tanpa preskripsi doktor  mudah diperoleh asalkan ada permintaan daripada pelanggan.
UBAT tanpa preskripsi doktor mudah diperoleh asalkan ada permintaan daripada pelanggan.
Ain Shafiqah Zaki


Besut: Terpedaya dengan testimoni sampah  penjual ubat dalam talian tidak bertauliah hingga akhirnya terpaksa menanggung derita kesan daripada pengambilan bahan itu.

Semakan wartawan di platform laman  sosial dan e-dagang menunjukkan ubat-ubatan diragui perakuannya itu dijual secara berleluasa bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Lebih parah lagi, ada juga ubat untuk menggugurkan kandungan dijual secara dalam talian.

Rata-rata modus operandi penjual ubat dalam talian ini menampilkan ribuan testimoni, ayat pemujukan dan lebih berani menjual nama doktor. 

Wartawan cuba berurusan dengan si penjual untuk mendapatkan ubat berkenaan dan ternyata proses jual beli semudah membeli pakaian. Ubat tanpa preskripsi doktor itu mudah diperoleh asalkan ada permintaan dari pelanggan.

Buktinya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membongkar kegiatan penjual yang menyorok ratusan jenis produk ubat-ubatan dan produk kesihatan tidak berdaftar di rumah yang dijadikan stor simpanan di Johor Bahru, Johor, baru-baru ini.

Semuanya  untuk jualan di platform e-dagang. Selain undang-undang berkaitan  pemberian preskripsi oleh doktor secara dalam talian perlu dikuat kuasa, malah pengendali platform e-dagang perlu menapis terlebih dahulu perniagaan produk kesihatan khususnya ubat-ubatan  yang berisiko memudaratkan pembeli.

Mangsa, Puteri Intan Zaharah Mohd Ali berkata, dia membeli ubat dalam talian kononnya dapat mengawal berat badan tanpa mendapat konsultasi pakar bertauliah.

"Saya amalkan dalam tiga hari kesannya saya jadi pening, sakit badan dan sembelit sampai saya berulang ke hospital.

"Ia menyebabkan saya tertekan dan emosi terganggu kerana terlebih fikir takut ia memberi kesan kepada buah pinggang saya kerana kesannya itu cepat sangat dalam tiga hari sahaja," katanya.

Mangsa lain, Nur Fazna Abu Bakar berkata, dia hanya sempat makan beberapa kali sebelum memutuskan berhenti mengambil ubat itu kerana kesannya yang menakutkan.

"Saya makan tak habis sebotol lagi saya terus berhenti kerana muka saya menggelupas, pening kepala, hormon badan dan haid saya tak stabil.

"Selepas dua bulan, berat badan saya naik. Selera saya bertambah dan rasa hendak makan selalu," katanya.

Ikuti laporan kedua di Buletin TV9 jam 7 malam ini

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 8:01 AM