ANTARA produk ubat-ubatan tidak berdaftar yang dirampas susulan serbuan dan operasi Bahagian Perkhidmatan Farmasi dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor ( JKNS).
ANTARA produk ubat-ubatan tidak berdaftar yang dirampas susulan serbuan dan operasi Bahagian Perkhidmatan Farmasi dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor ( JKNS).
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: 'Seratus peratus herba tradisional', 'kembali awet muda 20 tahun', 'rahsia lelaki beristeri empat' dan 'ubat gemuk badan dalam tujuh hari'.

Ini antara slogan popular digunakan sindiket penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar yang masih aktif menarik pelanggan melalui platform e-dagang serta beribu laman sesawang.

Difahamkan ayat slogan dicipta ini berjaya menarik perhatian pelanggan tanpa menyedari produk dibeli itu adalah ubat-ubatan tidak berdaftar serta produk kosmetik mengandungi racun berjadual.

Jurucakap Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, rata-rata pelanggan yang kurang pengetahuan berhubung isu keselamatan mudah diperdaya dengan slogan ini.

Menurutnya, sindiket menjual ubat-ubatan dan kosmetik tidak berdaftar ini semakin aktif berniaga melalui media sosial dan platform e-dagang selepas menyedari taktik itu menyukarkan pihak CPF mengesan lokasi atau merampas produk dijual.

"Sehingga kini, terdapat lebih 2,600 laman sesawang menjual produk haram ini yang disekat pihak KKM. Bagaimanapun peniaga terbabit akan mencari jalan lain untuk meneruskan perniagaan melalui kaedah jual beli atas talian.

"Apa yang membimbangkan apabila produk kimia dan racun berbahaya didakwa ubat 'ajaib' untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit ini tetap laris di pasaran walaupun pelbagai amaran sudah diberikan," katanya.

Sebagai contoh menurutnya, pil jamu atau ubat papan [tupai', Majun Dua Istimewa, Majun Burung Unta dan Maajun Tolak Angin masih terus dijual. Jika sebelum ini pil jamu berkenaan kerap ditemui digantung di kedai runcit namun kini ia turut ditawarkan melalui laman e-dagang.

"Produk 'maut' ini bukan diperbuat dari herba sebaliknya mengandungi kimia steroid seperti dexamethasone dalam kuantiti tinggi.

"Walaupun memberikan kesan kelegaan kepada masalah sendi, sakit otot atau alahan namun ia akhirnya menyebabkan pengguna kehilangan jisim otot, patah tulang, peningkatan paras gula dalam darah sehingga mendapat penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan kenaikan berat badan melampau.

"Selain itu produk ubat kuat lelaki turut dijual laris melalui laman e-dagang dengan testimoni kononnya mampu memulihkan mati pucuk serta memberi 'tenaga' luar biasa.

"Malangnya kimia sildenafil atau taladafil di dalam produk tidak berdaftar ini seringkali menyebabkan pengguna diserang sakit jantung, kerosakan hati dan buah pinggang.

"Sehingga kini KKM masih lagi meneruskan pemantauan di laman sesawang dan media sosial serta mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan dalam menangani isu penjualan produk farmaseutikal dan produk tidak berdaftar," katanya.

ANTARA produk ubat-ubatan tidak berdaftar yang dirampas susulan serbuan dan operasi Bahagian Perkhidmatan Farmasi dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor ( JKNS)
ANTARA produk ubat-ubatan tidak berdaftar yang dirampas susulan serbuan dan operasi Bahagian Perkhidmatan Farmasi dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor ( JKNS)

Gempur premis 'tauke ubat ajaib'

Kuala Lumpur: Gempur kedai, pusat perniagaan dan kediaman 'tauke ubat ajaib' yang dikesan dijadikan pusat penyimpanan serta menjual pelbagai ubat-ubatan haram kepada orang ramai.

Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Selangor, Datuk Indera Dr Sha'ari Ngadiman berkata, operasi membenteras produk berbahaya itu dilakukan anggota Cawangan Penguatkuasaan, Bahagian Perkhidmatan Farmasi dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) terhadap beberapa premis perniagaan di Selangor sejak Isnin lalu.

Menurutnya, serbuan turut dilakukan terhadap sebuah kediaman yang

didapati menjalankan penjualan produk tradisional yang disyaki tidak berdaftar dengan (KKM) di Petaling Jaya, Selangor.

"Hasil serbuan itu, sebanyak 135 produk kesihatan haram dianggarkan bernilai RM53,000 berjaya dirampas.

"Berdasarkan siasatan, sindiket dan penjual produk berbahaya ini menggunakan modus operandi dengan menjalankan aktiviti penjualan produk tidak berdaftar itu secara atas talian melalui platform e-dagang terkenal.

"Aktiviti penjualan seperti ini dikhuatiri akan membahayakan kesihatan orang ramai. Sekiranya tidak dikawal, ia akan mendatangkan kesan sampingan buruk dan memudaratkan.

"Susulan rampasan itu, siasatan dijalankan mengikut Akta Jualan Dadah 1952. Jika sabit kesalahan, tuan punya premis boleh dikenakan hukuman iaitu denda tidak melebihi RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali di bawah Akta sama," katanya.

Sehubungan itu katanya, JKNS menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli apa-apa produk kesihatan dan kosmetik yang dijual secara dalam talian serta memastikan produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan.

"Semakan kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik boleh dibuat dengan melayari www.npra.moh.gov.my / atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.

"Sebarang aduan berkaitan produk-produk boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau melalui talian 03-78413200 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 12:00 PM