MD Rahim bersama koleksi barangan yang dipamerkan di rumahnya. FOTO Nazri Abu Bakar
MD Rahim bersama koleksi barangan yang dipamerkan di rumahnya. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar

Alor Gajah: Sejak 20 tahun lalu, setiap kali menjelang bulan kemerdekaan pesara tentera, Md Rahim Maskop, 53, tanpa gagal mengerah keringat menghias kediamannya dengan Jalur Gemilang dan pelbagai maklumat mengenai sejarah kemerdekaan.

Setiap tahun kediamannya di Taman Pisang Mas Jaya, Gadek di sini, pasti dihias tema kemerdekaan berbeza bagi menzahirkan rasa cintanya itu kepada negara.

Md Rahim berkata, selain pelbagai maklumat sejarah negara, tahun ini dia menghiasi kediaman dengan koleksi pakaian pasukan keselamatan, busana Melayu dan cenderahati sambutan kemerdekaan negara.

Dalam masa sama, katanya, dia mempamerkan pelbagai koleksi songket, tanjak dan keris digunakan ketika pelbagai program kemerdekaan dan Hari Malaysia, selain barangan antik.

JALUR Gemilang dan pelbagai koleksi barangan  menghiasi rumah Md Rahim di Taman Pisang Mas Jaya, Gadek, Alor Gajah. FOTO Nazri Abu Bakar
JALUR Gemilang dan pelbagai koleksi barangan menghiasi rumah Md Rahim di Taman Pisang Mas Jaya, Gadek, Alor Gajah. FOTO Nazri Abu Bakar

"Setiap orang mentafsirkan kemerdekaan ini daripada pandangan berbeza, saya lihatnya dengan memelihara nilai kemerdekaan diperjuangkan generasi terdahulu sejak 65 tahun lalu.

"Ia memberi kepuasan kepada saya apabila dapat menzahirkan semangat cinta tanah air ini, apatah lagi ia dapat dikongsi dengan masyarakat luar," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Minat Md Rahim menghiasi rumahnya sempena bulan kemerdekaan mulanya hanya sekadar suka-suka namun semuanya berubah apabila kediamannya itu mula menjadi tumpuan ramai.

Saban tahun, rumah yang ibarat muzium itu dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat dan dia menganggarkan sudah lebih 20,000 orang pernah mengunjungi kediamannya itu, antaranya pelajar sekolah, guru, penuntut universiti dan pelancong asing untuk merakamkan gambar kenangan.

Tanpa mengenakan bayaran, Md Rahim hanya mahukan kepuasan dan teruja mempamerkan perhiasan berasaskan patriotik untuk tatapan generasi muda serta masyarakat luar.

KEDIAMAN Md Rahim ibarat muzium. FOTO Nazri Abu Bakar
KEDIAMAN Md Rahim ibarat muzium. FOTO Nazri Abu Bakar

"Kemerdekaan yang kita nikmati enam dekad ini tidak datang dengan mudah, ia dibayar dengan harga cukup tinggi nilainya oleh datuk, nenek dan moyang kita dahulu dengan darah, keringat, air mata bahkan nyawa mereka sendiri.

"Lantaran itu, setiap sambutan hari kemerdekaan, saya sentiasa ingatkan diri untuk menghargai pejuang dan pahlawan terdahulu dan apa yang saya miliki ini juga untuk dikongsikan dengan orang lain untuk kita bersama-sama menghayati kemerdekaan tanah air ini," katanya.

Bercerita lanjut, Md Rahim berkata, sejak 20 tahun lalu, dia sudah mengeluarkan lebih RM50,000 untuk mengumpul dan menghias rumahnya, termasuk untuk mendapatkan barangan antik selain perbelanjaan menukar Jalur Gemilang bagi memastikan ia tidak lusuh untuk dipamerkan.

"Apa yang melegakan, jiran memahami jiwa dan naluri saya dan isteri (Zurina Kepol, 55) yang minat melakukan semua ini dan mereka menyokong usaha kami.

"Ia tidak menjejaskan semangat kejiranan kerana mereka sentiasa menyokong usaha yang saya lakukan, dalam masa sama meningkatkan imej di kawasan perumahan ini," katanya.

MD Rahim bersama anak buah yang membantunya. FOTO Nazri Abu Bakar
MD Rahim bersama anak buah yang membantunya. FOTO Nazri Abu Bakar

Atas usahanya itu, Md Rahim sudah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan sejak 2004, bukan saja di peringkat negeri, bahkan peringkat kebangsaan bagi pertandingan keceriaan kemerdekaan.

Dia menerima anugerah itu di peringkat kebangsaan pada 2013, 2015 dan 2016, selain pernah dinobatkan sebagai tokoh Jalur Gemilang 2017 peringkat negeri Melaka.

Anak buahnya, Mohd Danish Mohd Nor, 14, berkata, dia berbangga dengan apa yang diusahakan bapa saudara yang mesra dipanggil Atok dalam keluarga itu.

"Saya teruja setiap kali ke kediaman Atok kerana ia persis sebuah muzium kemerdekaan, malah Atok juga suka bercerita mengenai detik kemerdekaan kepada kami.

"Daripada atok saya belajar mengenai perjuangan pemimpin terdahulu, kecintaan kepada negara selain menghargai apa yang dilakukan tokoh kemerdekaan terdahulu kepada generasi muda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 12:00 PM