SOTHI  berbasikal dihiasi Jalur Gemilang mengelilingi kawasan sekitar Peringgit. FOTO Nazri Abu Bakar
SOTHI berbasikal dihiasi Jalur Gemilang mengelilingi kawasan sekitar Peringgit. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar

Melaka: “Saya akan cuba mengelilingi bandar Melaka dengan berbasikal dihiasi Jalur Gemilang setiap kali sambutan Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia selagi terdaya,” kata A Sothi Vandamalai, 70, penuh bersemangat.

Semangat patriotik yang tinggi dalam dirinya menyebabkan Sothi sanggup menjahit sendiri baju Jalur Gemilang untuk dipakai ketika menunggang basikal sempena sambutan bulan kemerdekaan negara dan Hari Malaysia.

Malah, sehingga kini, sudah 18 tahun warga emas itu tidak pernah gagal menghias basikal antiknya dengan hiasan Jalur Gemilang, selain tampil kreatif dalam imej bersongkok dengan lilitan bendera Malaysia serta negeri Melaka.

Sothi yang menetap di rumah awam Pantai Peringgit di sini, akan terus melakukan aktiviti itu selagi terdaya hingga usianya mencecah 80 hingga 90 tahun, semata-mata bagi menunjukkan semangat cintakan tanah air.

Biarpun berstatus orang kurang upaya (OKU) selepas mata kirinya buta akibat tertusuk dawai ketika berusia 10 tahun, ia bukan penghalang untuknya menyemai bibit patriotik termasuk cuba menarik minat dalam kalangan generasi muda.

“Kebiasaannya, saya akan menunggang basikal sekitar Peringgit, Bukit Baru, Pengkalan Rama, Melaka Baru, Pangkalan Batu, Bachang, Melaka Sentral dan sesekali di Bandar Hilir dan Jalan Hang Tuah dengan hiasan Jalur Gemilang.

“Ramai yang memberi sokongan dan galakan termasuk mereka yang merakam gambar kenangan bersama basikal tua yang saya beli pada harga RM20 pada 1970-an,” katanya.

KANAK-KANAK turut serta berkayuh bersama Sothi. FOTO Nazri Abu Bakar
KANAK-KANAK turut serta berkayuh bersama Sothi. FOTO Nazri Abu Bakar

Menceritakan pengalamannya, Sothi berkata, dia pernah diejek kerana terlalu taasub dengan hiasan Jalur Gemilang tetapi kini semakin ramai memuji usaha murninya.

Selain memenuhi basikal antiknya dengan kibaran Jalur Gemilang, warga emas itu turut mempamerkan beberapa keping gambar sambutan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 di bahagian hadapan basikal.

Bercerita lanjut, Sothi berkata, dia hanya mengeluarkan RM45 untuk kos membeli Jalur Gemilang selain memperuntukkan RM25 untuk menjahit baju serta lilitan songkok.

Dalam pada itu, Sothi turut melahirkan rasa sedih apabila kali ini dia tidak dapat berbasikal bersama isterinya, K Pawai, 66, yang terbabit dalam kemalangan ketika menunggang basikal untuk ke tempat kerja.

“Saya sebenarnya berazam untuk berbasikal dengan isteri selepas mempersiapkan sebuah basikal untuknya dengan hiasan Jalur Gemilang.

“Malangnya, isteri terbabit kemalangan dengan motosikal di Melaka Baru baru-baru ini. Hingga kini dia terlantar di hospital,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 9:40 AM