WAWA dan suami bersama Jibril ketika ditemui di rumah mereka di Ampang. FOTO Fathil Asri
WAWA dan suami bersama Jibril ketika ditemui di rumah mereka di Ampang. FOTO Fathil Asri
Sri Ayu Kartika Amri dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Amalan mengambil anak angkat kini semakin diterima masyarakat, bagaimanapun ia bukan sesuatu yang mudah, bahkan ada pasangan yang perlu berhabis wang ringgit bagi tujuan itu.

Ikuti kisah tiga pasangan ini yang sanggup berdepan dengan apa saja cabaran bagi berkongsi kasih sayang dengan insan kecil yang dianggap sebagai anak kandung sendiri.

Kasih tulus buat si comel Jibril

Usia anak yang sudah meningkat dewasa, selain memasang niat melakukan amal jariah membuatkan pasangan suami isteri Wawa Idris, 45, dan Rosdin Yahya, 51, membulatkan tekad mengambil anak angkat untuk menyerikan kembali rumah tangga mereka.

Menurut Wawa, pada awalnya, suami yang melontarkan idea mengambil anak angkat memandangkan anak mereka sudah berusia 15 hingga 24 tahun.

"Saya sendiri agak berat nak terima idea itu kerana tidak berapa yakin boleh sayang seperti anak sendiri, malah usia sudah masuk 40-an dan saya rasa tak sesuai lagi untuk menjaga anak kecil.

"Namun, suami meyakinkan dan kemudian saya menyertai kumpulan Facebook (FB) yang mengambil anak angkat, dari situlah saya membina networking.

"Saya membuat hantaran di FB untuk mencari anak angkat lelaki di kawasan Selangor pada akhir 2021 dan dalam beberapa minggu, saya menerima tawaran daripada ibu bayi terbabit.

"Perjalanan untuk mendapatkan anak angkat, Jibril Rosdin ini sangat mudah kerana dia lahir di hospital swasta pada 17 Januari 2022.

"Kebetulan bayi pramatang dan ibunya terpaksa bersalin secara pembedahan, kami sudah tidak fikir mengenai kos, apa yang penting adalah nyawa ibu dan anak itu.

"Syukur semuanya selamat, kami lebih nak tolong dia untuk pastikan bayi keluar dan dia saya lihat jujur," katanya yang membuat perjanjian dengan ibu kandung bagi memastikan tiada isu berbangkit kemudian hari.

Ditanya mengenai kos mengambil anak angkat, Wawa menyatakan setiap kos yang diperuntukkan berbeza kerana jika melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah percuma.

Bagaimanapun, berikutan dia dan suami membantu wanita terbabit bersalin di hospital swasta anggaran kos keseluruhan yang dikeluarkan lebih kurang RM15,000 hingga RM20,000.

"Kami bahagia dengan kehadiran 'malaikat kecil' ini ke dalam keluarga kami walaupun fasa permulaan saya agak kelam-kabut dan sudah 15 tahun tidak bangun malam serta susukan bayi.

"Alhamdulillah semua dipermudahkan, memang saya mahukan anak lelaki dan rezeki dapat. Sekarang saya sedang ambil pil perangsang susu badan, berusaha untuk jadikan Jibril mahram," katanya.

Sementara itu, Wawa berkata, bagi mereka yang bercadang mengambil anak angkat jangan berfikir terlalu dalam dan serahkan semuanya kepada Allah SWT.

"Ramai yang cakap belum sedia untuk ambil anak angkat, tetapi sebenarnya dengan adanya anak angkat seperti yang suami saya katakan kita sebenarnya membuat amal jariah setiap hari kerana bukan sahaja pengorbanan dari segi wang ringgit, malah kita 'sedekahkan' masa dan kasih sayang.

"Rezeki ini datang dalam pelbagai bentuk dan memang ada stigma masyarakat anak angkat ini membebankan, kalau kita terlalu memikirkan apa pandangan orang lain memang semua tak jalan," katanya yang turut mendapat sokongan keluarga.

Wawa berkata, selain dia, ahli keluarganya juga ada yang mengambil anak angkat dan disebabkan itu dia sudah terbiasa berada dalam keadaan sebegitu malah anak, ibu bapanya serta keluarga lain begitu menyokong usaha mereka suami isteri.

"Memang ada cabaran ambil anak angkat ini antaranya proses pendaftaran dengan pihak berwajib termasuk risau penerimaan anak itu nanti apabila dia tahu status sebagai anak angkat dan penerimaan ahli keluarga lain.

"Bagaimanapun, mereka yang mahu mengambil anak angkat perlu berhati-hati dengan sindiket penipuan, jangan tergesa-gesa, kena kuatkan mental dan fizikal (jika tiada pengalaman sebagai ibu) dan jangan terlalu memikirkan mengenai masa depan bayi, serahkan pada Tuhan yang maha kuasa," katanya.

Syukur urusan ambil anak angkat dipermudahkan

Tekanan dialami ketika tahun ketiga perkahwinan akibat ketiadaan zuriat mendorong Norhazrin Sazlin Ramli mengambil anak angkat, empat tahun lalu.

Biarpun perlu mengeluarkan RM5,000 bagi menyempurnakan proses pengambilan anak angkat, Norhazrin Sazlin tidak mahu berkira soal wang demi merasai nikmat sebagai seorang ibu.

Menurut Norhazrin Sazlin, carian anak angkat dilakukan di kumpulan Facebook (FB) Anak Angkat dan dia bersyukur kerana urusannya dipermudahkan malah ia tidak mengambil masa yang lama.

"Saya dan suami sudah melakukan pemeriksaan dan keputusannya kami berdua normal serta tiada masalah kesuburan, cuma tiada rezeki lagi untuk kami dikurniakan cahaya mata.

"Pada awalnya, saya tidak tertekan namun lama kelamaan datang tekanan apabila sering diajukan soalan bila mahu ada zuriat setiap kali menghadiri kenduri atau ada perjumpaan dengan saudara-mara.

"Bertitik tolak dari itu, saya nekad ambil anak angkat sehinggalah pada satu hari, ada seorang wanita menghantar kiriman mesej di FB bertanya kesudian saya mengambil bayi perempuannya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

NORHAZRIN dan suaminya menyayangi Nur Zuhailin seperti zuriat sendiri. FOTO Ihsan Norhazrin Sazlin Ramli
NORHAZRIN dan suaminya menyayangi Nur Zuhailin seperti zuriat sendiri. FOTO Ihsan Norhazrin Sazlin Ramli

Menurut Norhazrin Sazlin, tempoh rundingan antara dia dan ibu kandung anak angkatnya tidak lama malah mereka pantas mencapai kata sepakat serta persetujuan.

"Saya diberitahu ibu kandung anak angkat saya yang ada tiga individu mahukan bayinya dan mereka adalah guru, jururawat serta peguam sedangkan saya hanya pekerja kilang.

"Bagaimanapun, dia (ibu kandung) memilih saya kerana selesa dengan cara saya berkomunikasi dengannya di WhatsApp. Mungkin sudah sampai rezeki ketika itu.

"Ikutkan, saya mahu bertemu dahulu dengannya namun dia setuju ikut saya pulang ke rumah sebelum bersalin di hospital tiga minggu kemudian," katanya.

Norhazrin Sazlin berkata, ibu mentua dan suami kurang bersetuju dengan hasratnya mengambil anak angkat kerana tempoh perkahwinan yang masih baru.

Disebabkan itu, Norhazrin Sazlin merahsiakan dulu perkara itu daripada pengetahuan ibu mentuanya sehingga bayi dilahirkan.

"Ibu mentua hanya tahu dan menatap wajah cucu angkatnya itu buat kali pertama ketika di hospital, dia tidak marah sebaliknya seronok sangat selepas melihat cucunya itu malah ahli keluarga lain juga menerima anak saya dengan baik.

"Lebih membuatkan saya terharu apabila ibu mentua turut membantu menghulurkan wang membeli barangan keperluan rumah sewa buat ibu kandung anak angkat saya, manakala suami dan ibu turut menanggung kos bersalin, berpantang dan wang pendahuluan rumah," katanya.

Norhazrin Sazlin berkata, kehadiran anak angkatnya, Nur Zuhailin Ellysya, 5, menjadi penyeri dan pelengkap hidupnya bersama suami Mohammad Zulhilmi Badrol Hizam, 30.

'Umar buat hidup kami lebih bahagia'

Bukan tidak berusaha malah pelbagai ikhtiar dilakukan Mohd Syafiq Mohamad Fadeli dan isterinya, Zaisma Firdani Ismail untuk mendapat zuriat sejak tahun ketiga perkahwinan mereka.

Antara usaha pernah dilakukan mereka adalah menjalani rawatan kesuburan Intrauterine Insemination (IUI) dan rawatan kesuburan in vitro fertilization (IVF) di hospital kerajaan.

Tidak cukup dengan itu, Mohd Syafiq dan Zaisma Firdani yang menetap di Kampung Gual Tinggi turut berikhtiar dengan cara tradisional namun semuanya tidak berhasil kerana belum diizinkan Allah SWT untuk mereka menimang cahaya mata.

Hasil perbincangan bersama, pasangan suami isteri berusia 35 tahun itu sepakat mengambil anak angkat tiga tahun lalu, bukan kerana tekanan akibat tiada cahaya mata, sebaliknya mahu memenuhi keinginan mereka menjadi ibu bapa.

"Saya mahupun isteri tiada masalah kesuburan, malah permulaan rawatan IVF yang kami jalankan dulu agak sempurna, tetapi tidak berjaya kerana belum ada rezeki.

"Kami ada juga merujuk dengan hospital serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi bertanya perihal anak angkat, tetapi ditakdirkan dapat anak angkat dengan bantuan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Kami terima bayi lelaki warga tempatan dan hanya mengeluarkan sedikit wang saja kepada NGO terbabit bagi menampung kos bersalin dan ubat-ubatan ibu kandung di hospital," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MOHD Syafiq dan Zaisma bersama anak angkat mereka, Mohamad Umar. FOTO Ihsan Mohd Syafiq Mohamad Fadeli
MOHD Syafiq dan Zaisma bersama anak angkat mereka, Mohamad Umar. FOTO Ihsan Mohd Syafiq Mohamad Fadeli

Mohd Syafiq yang juga guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Mas berkata, kedua-dua belah keluarga tidak membantah sebaliknya memberi sokongan ketika dia dan isteri menyuarakan hasrat mengambil anak angkat yang diberi nama Mohamad Umar, 3, itu.

"Keluarga sokong keputusan saya dan isteri kerana mereka faham kami sudah lama menantikan kehadiran cahaya mata sejak berumah tangga pada Mei 2011.

"Sokongan mereka membuatkan saya bersyukur kerana berada dalam kalangan insan yang positif dan sensitif malah tiada siapa cuba timbulkan soal zuriat jauh sekali cadangkan saya berkahwin lagi hanya kerana belum dikurniakan zuriat.

"Ia juga memberi kekuatan kepada saya dan isteri yang sehingga kini tidak berputus asa malah sedia mempertimbangkan untuk mencuba kaedah rawatan kesuburan lain jika ada," katanya.

Mohd Syafiq berkata, dia dan isteri tidak pernah berasa kesal dengan wang dibelanjakan untuk menampung kos rawatan kesuburan dan yang berkaitan dengan pengambilan anak angkat.

Katanya, nilai itu tidak dapat dibandingkan dengan kepuasan mempunyai zuriat walaupun bukan daripada darah daging sendiri.

"Sejak adanya Mohamad Umar, hidup kami lebih bahagia. Jika saya dan isteri ada rezeki dapat cahaya mata kelak sekalipun, Mohamad Umar tidak akan kami abaikan sama sekali," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 12:00 PM