GAMBAR  hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

SIMA (bukan nama sebenar) ditawarkan seorang bayi untuk dijadikan anak angkat, tetapi perlu membayar pelbagai kos sehingga mencecah RM15,000.

Wanita berusia 35 tahun itu berkata, dia mencari anak angkat menerusi laman sosial sejak awal tahun lalu dan nyaris ditipu ibu kandung bayi yang dikenalinya bulan lalu apabila wanita terbabit mengarahkannya membuat transaksi wang melalui bank.

“…tetapi saya bertegas mahu bersemuka dengannya bersama bayi itu…Dia paksa saya masukkan duit dalam akaunnya… bila bertegas saya disekat daripada menghubungi ibu kandung itu,” katanya yang nyaris rugi ribuan ringgit.

Selain kes itu, terdapat juga orang tengah atau pihak tertentu menawarkan bayi untuk dijadikan anak angkat dengan bayaran tertentu.

Kebanyakan mereka beroperasi melalui media sosial dan hasil carian Bernama selama lebih sebulan mendapati terdapat pelbagai akaun yang menggunakan kata kunci ‘anak angkat’ dengan rata-rata kos yang perlu ditanggung bakal ibu bapa angkat mencecah RM10,000 hingga RM20,000.

Prosesnya juga mudah iaitu mereka yang ingin mendapatkan anak angkat hanya perlu mengisi butiran peribadi seperti pekerjaan, tempat tinggal, sebab untuk mengambil anak angkat.

Paling penting perlu bersedia menanggung kos yang mencecah RM10,000 sehingga RM20,000.

Ada juga yang meletakkan harga bayi mengikut warga negara dan bukan warga negara serta yang sah taraf dan tidak sah taraf.

‘Pelanggan’ juga perlu membayar wang deposit antara RM2,000 hingga RM7,000 dengan alasan wang itu adalah untuk kegunaan pembayaran kos bersalin di hospital swasta dan sagu hati kepada ibu kandung untuk meneruskan kehidupan.

Menceritakan pengalamannya, Sima berkata: “Saya pernah ditawarkan bayi, tetapi perlu membayar RM15,000 untuk kos bersalin di hospital swasta dan sagu hati kepada ibu kandung.

“Urusan penawaran itu dilakukan oleh seorang individu yang menjadi orang tengah kepada ibu kandung bayi berkenaan,” katanya.

Berkongsi pengalaman urusan ‘jual beli’ bayi di media sosial, seorang lagi wanita, Fizah (bukan nama sebenar) berusia 30 tahun, menceritakan pengalamannya yang dua kali berunding dengan dua ibu kandung menerusi laman sosial untuk mengambil bayi mereka sebagai anak angkat.

“Sudah dua kali saya hampir nak dapatkan anak angkat, tetapi ibu kandung batalkan kerana mendapat tawaran yang lebih (tinggi) daripada orang lain.

“Saya jadi tertekan kerana semua barang keperluan bayi sudah dibeli, tetapi akhirnya ibu kandung enggan menyerahkan anaknya kepada saya kerana ada pasangan lain yang menjanjikan tawaran wang yang lebih tinggi,” katanya yang sudah lima tahun berkahwin dan belum dikurniakan cahaya mata.

Katanya sehingga kini dia masih menerima mesej menerusi laman sosial daripada pihak tertentu menawarkan bayi mereka untuk dijadikan anak angkat.

Kedua-dua wanita itu sehingga kini gagal mendapatkan anak angkat melalui dalam talian.

Ditanya mengapa tidak mendapatkan anak angkat menerusi saluran betul seperti mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tanggapan mereka adalah sama iaitu prosesnya lambat dan perlu melalui beberapa tapisan serta tidak boleh memilih jantina bayi yang mereka mahu.

Persoalannya adakah cara untuk mendapatkan anak angkat yang seolah-olah ‘urusan jual beli bayi’ itu sah di sisi undang-undang dan sejauh mana jaminan pasangan yang berurusan itu akan mendapat anak yang diidam-idamkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 7:10 AM