NIK Amirah  dan suami bersama sebahagian daripada ejen mereka.
NIK Amirah dan suami bersama sebahagian daripada ejen mereka.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Suka bekerja sejak berusia 12 tahun menjadikan seorang pengasas produk berjaya dan mampu berdiri setanding usahawan wanita yang lain.

Nik Amirah Syamimi Mahmood, 28, berkata, selepas menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), dia bekerja dengan orang dengan menjual pisang goreng.

Katanya, ketika itu, dia bekerja kerana mahu membantu meringankan beban ibu, Wan Rahimah Wan Yusoff, 52, yang perlu menanggung anak yang masih kecil.

"Selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya bekerja menjual air di pasar malam dan melaluinya, dapat menjana pendapatan sendiri.

"Wang itu sebahagiannya saya kumpul untuk dijadikan modal bagi menghasilkan produk sendiri pada 2015 dan Alhamdulillah, ia mendapat sambutan," katanya.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, kehidupan susahnya ketika kecil membantu dia untuk membina perniagaan sendiri.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, lebih manis apabila perniagaan itu turut dibantu suaminya, Nik Muhamad Syahiman Nik Mazlee, 30, yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepadanya.

"Ketika berkahwin dengan suami, kami hanya mengadakan majlis akad nikah sahaja tanpa membuat kenduri kerana tiada wang.

"Alhamdulillah, selepas berkahwin rezeki kami makin mencurah apabila perniagaan yang dibina berkembang.

"Ketika ini, kami ada lebih 3,000 ejen dan mereka inilah yang membantu menaikkan jualan produk kami," katanya yang mampu meraih pendapatan lumayan hasil jualan produk berkenaan.

Nik Amirah Syamimi yang berkelulusan Diploma Pengajian Perniagaan berkata, perancangan masa hadapannya adalah untuk membina dan memiliki wisma sendiri selain membantu lebih ramai orang di sekeliling.

NIK Ainin kini mempunyai 14 kakitangan dan lebih 3,000 ejen  seluruh negara.
NIK Ainin kini mempunyai 14 kakitangan dan lebih 3,000 ejen seluruh negara.

'Dahulu kami sering keputusan wang'

Kota Bharu: Nik Ainin Sofiya Mahmood, 30, yang mengasaskan beberapa produk kecantikan memulakan perniagaannya dengan hanya menjadi peniaga secara dalam talian pada 2011.

"Ketika itu, saya belajar di sebuah kolej di Kuantan, Pahang dalam jurusan Diploma Ukur Bahan. Kehidupan yang dilalui amat sukar dan sentiasa keputusan wang ekoran ibu, Wan Rahimah Wan Yusoff, adalah ibu tunggal.

"Ibu perlu menanggung kami lima beradik. Kerana itu, saya mula berniaga dengan menjual produk orang lain secara dalam talian sebelum menghasilkan produk sendiri pada 2014," katanya yang kini memiliki beberapa kenderaan serta kediaman eksklusif.

Menurut Nik Ainin Sofiya yang ditemui di pejabatnya di Jalan Kota Darulnaim di sini, bagaimanapun, produk berkenaan hanya bertahan dua tahun sebelum dia mengeluarkan jenama baru pada 2016 seterusnya mendapat sambutan hingga kini.

Nik Ainin Sofiya yang dikurniakan tiga anak itu juga bersyukur kerana melalui produk itu, dia dapat membantu ramai orang, malah dia kini mempunyai 14 kakitangan dan lebih 3,000 ejen di seluruh negara.

Isteri kepada Muhammad Hariz Che Othman, 30, itu berkata, bukan mudah untuk menguruskan perniagaan berkenaan kerana ia memerlukan komitmen tinggi.

"Selepas mengeluarkan produk sendiri, saya perlu memikirkan banyak perkara termasuk periuk nasi pekerja dan ejen. Saya perlu pastikan hak mereka sentiasa mencukupi.

"Saya menggunakan pelbagai kaedah dan platform untuk menaikkan nama produk termasuk mempromosi di media sosial selain iklan di radio," katanya.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, berkat kesabaran dan sokongan ramai termasuk suami, keluarga, kakitangan dan ejen, perniagaan berkenaan semakin berkembang.

Menurutnya yang memiliki 211,000 pengikut di Instagram selain lebih 100,000 di Facebook, dengan memiliki perniagaan sendiri, dia juga mampu membantu golongan memerlukan dengan mengeluarkan zakat dan lain-lain.

"Rancangan masa depan saya ialah mengembangkan lagi rangkaian perniagaan dan membantu lebih ramai orang menerusi satu platform perniagaan," katanya.

Shaila Adnan
Shaila Adnan

Niaga sejak usia 19 tahun

Kota Bharu: Cantik, kaya, muda, bijak, malah memiliki rangkaian perniagaan kukuh.

Itu ciri-ciri 'jelitawan jutawan' dalam kalangan usahawan wanita di Kelantan yang cukup menonjol ketika ini.

Golongan ini bukan saja membabitkan pengasas produk, peniaga barangan kemas, bahkan pembekal peralatan perubatan.

Perniagaan mereka bukan saja mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai pihak, malah mereka juga kerap dijadikan model untuk berjaya dalam kerjaya.

Antara golongan ini ialah Shaila Adnan, 26, yang bermula dengan menjual produk dan barangan orang lain sebelum dia berjaya dalam perniagaan.

Shaila berkata, dia memulakan perniagaan ketika usianya 19 tahun iaitu semasa menuntut dalam jurusan Diploma Pengajian Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Machang.

Katanya, ketika itu, dia memulakan perniagaan dengan menjual produk orang lain kerana mahu memiliki wang sendiri dan tidak bergantung kepada ibu bapa serta keluarga.

"Ketika itu, saya mahu bebas dalam hal kewangan dan tidak mahu meminjam wang dengan sesiapa, malah menyimpan impian untuk memiliki rumah dan kenderaan sendiri.

"Disebabkan impian ini, saya menjual pelbagai produk secara dalam talian dan Alhamdulillah, hasilnya saya mampu membuat simpanan.

"Dalam tempoh setahun iaitu ketika berusia 20 tahun, saya mengeluarkan produk penjagaan wajah jenama sendiri dan dengan perniagaan itu, ia membantu saya memperoleh apa yang diimpikan," katanya yang memiliki beberapa kenderaan mewah selain kediaman eksklusif.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dalam tempoh beberapa tahun, dia juga mampu membina perniagaan lain termasuk kafe yang menyediakan pelbagai makanan termasuk selera timur dan barat.

Isteri kepada Nooraidil Hanafi, 33, ini berkata, kafe berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan dan memenuhi citarasa pelanggan.

"Pada masa sama, saya juga mengeluarkan produk daging, malah memiliki lebih 500 ejen di seluruh negara.

"Saya juga mempunyai 45 kakitangan yang membantu menguruskan perniagaan ini. Untuk mengekalkan perniagaan ini tidak mudah, namun saya akan berusaha untuk memastikan apa yang saya lakukan ini berjaya, sekali gus dapat membantu orang di sekeliling," katanya.

Menurutnya yang memiliki 1.6 juta pengikut di aplikasi TikTok, hasil daripada perniagaan itu, dia mampu membantu ramai orang yang memerlukan untuk berdikari dan mempunyai pendapatan sendiri termasuk suri rumah.

Katanya, yang turut memiliki lebih 80,000 pengikut di Facebook selain 571,000 di Instagram, perancangan masa hadapannya ialah untuk mengembangkan lagi perniagaan apabila mahu membuka beberapa lagi cawangan kafe pada tahun ini.

 Hasnah Zakaria
Hasnah Zakaria

'Semua bermula dengan satu farmasi'

Kota Bharu: Bermula dengan satu farmasi, kini perniagaannya semakin berkembang dan terkini, wanita ini memiliki tujuh rangkaian perniagaan termasuk di Lembah Klang.

Bukan satu laluan yang mudah untuk memiliki dan mengembangkan perniagaan itu kerana ia memerlukan komitmen dan usaha bersungguh-sungguh bersama pasukan.

Bagi naib presiden sebuah syarikat farmasi, Hasnah Zakaria, 43, perniagaannya bermula dengan hanya satu farmasi jualan runcit sebelum membuka sebuah kilang pembuatan industri produk di Padang Tembak, Pengkalan Chepa pada 2000.

Katanya, kilang itu kemudian berkembang apabila pihaknya menjalin kerjasama dengan Sirim pada 2006 sehingga 2009 dalam membangunkan penyelidikan serta pembangunan produk kosmetik.

"Alhamdulillah, hasil daripada kilang berkenaan, syarikat kami menjadi semakin berkembang dan sehingga kini, kami sudah memiliki beberapa rangkaian farmasi, kilang pembuatan produk dan syarikat pengiklanan.

"Pemasaran bukan sahaja dilakukan di Kelantan, malah di Lembah Klang. Semua ini tidak akan wujud sekiranya tiada kerjasama antara pasukan dan kakitangan yang kini hampir 300 orang," katanya ketika dihubungi.

Di samping itu, ibu kepada empat anak itu berkata, dengan perniagaan berkenaan, dia dapat membantu lebih ramai orang termasuk pekerja dan orang awam yang mahu menceburi bidang perniagaan.

Hasnah juga berkata, menerusi kilang pembuatan produk berkenaan, pihaknya sudah melahirkan tiga individu yang menjadi jutawan produk dan semuanya sudah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta sijil halal.

"Pada masa depan, saya merancang untuk membantu melahirkan lebih ramai usahawan dalam golongan muda sekali gus menjadi jutawan.

"Saya juga mahu menjadikan produk halal Malaysia dikenali di seluruh dunia," katanya.


Mufti gesa bayar zakat tanda syukur

Kota Bharu: Pembayaran zakat adalah satu ibadat dan tanda bersyukur dengan harta yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat Islam.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, satu daripada tanggungjawab orang Islam adalah mentaati perintah Tuhan.

"Kita perlu sedar bahawa harta yang diperoleh adalah kurniaan Allah SWT. Jadi kalau Allah SWT perintahkan kita bayar zakat, maka itu bukan paksaan, jadi zakat ini adalah satu ibadat.

"Harta yang diperoleh ini satu kurniaan. Kita perlu memeriksa setiap masa sama ada harta yang diperoleh sudah wajib dikeluarkan zakat.

"Jangan pula kita lupa daratan dengan harta yang dikurniakan Allah SWT. Sekiranya tahu bersyukur, Allah SWT akan tambah lagi rezeki kita," katanya dihubungi.

Mohamad Shukri turut menasihati usahawan yang mempunyai pendapatan yang sudah cukup supaya mengeluarkan zakat.

Menurutnya, ini berikutan, dalam harta yang diperoleh, ada hak orang lain iaitu hak fakir miskin.

"Lagipun, hanya sebahagian kecil sahaja daripada harta atau pendapatan yang perlu dikeluarkan zakat iaitu 2.5 peratus atau satu daripada 40 bahagian.

"Jangan ada rasa sayang untuk mengeluarkan zakat kerana harta atau pendapatan yang diperoleh itu adalah kurniaan Allah SWT kepada kita sebagai pemegang amanah.

"Kepada usahawan, saya nasihati mereka supaya terus berjihad kerana Islam tidak akan maju jika kita tidak memiliki harta. Islam maju dengan harta, bukan sahaja dengan iman. Sebab itu adanya sistem zakat," katanya.

Mohamad Shukri berkata, selain berusaha untuk meneguhkan ekonomi tempatan, jangan lupa kepada apa yang dituntut oleh agama iaitu membayar zakat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 12:00 PM