MAMPU mencapai impian walaupun tidak memiliki produk atau jenama sendiri.
MAMPU mencapai impian walaupun tidak memiliki produk atau jenama sendiri.
Siti Nadirah Hafidzin

Tidak semua orang berpeluang menghasilkan jenama sendiri, mungkin kekangan kewangan, masa juga kurang pengalaman menjadikan ia antara halangan terbesar.

Namun, siapa kata menjadi usahawan itu hanya tertumpu kepada pengasas atau pemilik produk semata-mata kerana individu bergelar ejen pengedar mahupun dropship juga turut boleh bergelar usahawan.

Hakikatnya, peranan golongan itu amat penting dalam menentukan jualan sesuatu produk di pasaran kini.

Minat dalam dunia perniagaan tidak menghalang ibu kepada tiga cahaya mata ini menjana pendapatannya melalui perniagaan.

Walaupun dia bukanlah pengasas produk, semangat dan kerja keras Zurena Mohd Jadi wajar dijadikan contoh khususnya kepada individu yang mahu berniaga tanpa memiliki produk sendiri.

Menurut Zurena yang juga seorang penjawat awam, walaupun memiliki kerjaya tetap, ia tidak membantutkan hasratnya untuk berniaga.

“Mungkin ramai yang kata buat apa hendak bekerja keras sedangkan sudah ada pendapatan tetap. Saya lakukan kerana minat dan disebabkan itu saya mula mencari maklumat mengenai apa saja produk yang berada di pasaran untuk dijual,” katanya.

Zurena berkata, yakin dengan rezeki yang mampu diraih hasil daripada berniaga membuatkan wanita ini tekad mendaftar sebagai ejen produk kesihatan dan kecantikan beberapa tahun lalu.

“Saya hanya fokus kepada satu produk dan sejak itu terus melangkah ke depan. Saya juga mahu ada pendapatan lumayan walaupun bukanlah seorang pengasas atau pemilik jenama sendiri.

“Syukur, apa yang saya lakukan amat bertepatan dengan status dan kemampuan diri. Saya juga menjalankan urusan jual beli melalui dalam talian yang amat memudahkan dan yang pasti tidak mengganggu urusan harian sebagai seorang isteri, ibu serta pekerja,” katanya.

Kata Zurena, selepas bertapak dalam perniagaan ini, dia kini bergelar ketua pasukan atau ‘master team leader’ dalam jenama yang diusahakan.

“Apabila berjaya ke tahap ini tentu saja saya perlu lebih fokus kerana bukan hanya memikirkan pendapatan sendiri, malah pada masa sama mempunyai ahli pasukan yang perlu dibimbing.

“Jadi, saya sering mengingatkan ahli pasukan supaya sentiasa fokus dan jangan sesekali jadikan perniagaan ini sebagai perkara sampingan dalam kehidupan,” ujarnya.

BERSAMA suami dan anak yang menjadi tulang belakang kejayaannya.
BERSAMA suami dan anak yang menjadi tulang belakang kejayaannya.

Bersama-sama gapai impian

Zurena berkata, walaupun bukan pengasas jenama sendiri, dia juga mempunyai impian mempunyai jenama sendiri satu hari nanti.

“Saya mempunyai hubungan baik dengan pengasas jenama yang saya usahakan ini selain sering berbincang bersamanya bagi menambah ilmu dan kaedah menjana pendapatan.

“Kini saya lebih tertumpu kepada membimbing usahawan baru yang ingin menjana pendapatan sendiri dan saya yakin semua individu mampu berjaya sekiranya ada keinginan,” katanya.

Menurut Zurena, persaingan kewujudan pelbagai jenis produk dan jenama di pasaran juga menjadi antara dugaan terbesar kepada dirinya.

“Kami sebagai ejen dan dropship juga ada suka dukanya. Lumrah ada pasang surut jualan. namun semuanya boleh diatasi sekiranya ada semangat yang kuat.

“Disebabkan bukanlah seorang pengasas, kami berharap pada komisyen jualan selain ganjaran lain diberikan pengasas,” ujarnya.

Kata Zurena yang juga pemgang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian), dia juga mahu usahawan lain sepertinya tidak sesekali merendah diri serta malu dengan perniagaan dijalankan.

“Tanpa individu seperti kita, sesuatu produk atau jenama tidak dapat berkembang dan tentu saja peranan kita amat diperlukan.

“Jangan sesekali mengalah, lakukan tugas dengan ikhlas dan bukan semata-mata untuk mendapat wang saja kerana semuanya terletak pada hati,” ujarnya.

Zurena berkata, disamping tugasnya, dia amat bersyukur kerana suami banyak membantu terutama dalam menguruskan hal rumah tangga.

“Kadangkala saya agak sibuk membimbing usahawan baru dan suami banyak berkorban membantu. Tidak ada alasan untuk berjaya, tidak kiralah status diri kejayaan diimpikan dapat diraih dengan kesungguhan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 2:09 PM