NOR AZILA ingin membangunkan ekonomi umat Islam.
NOR AZILA ingin membangunkan ekonomi umat Islam.
Siti Zarinah Sahib

Zaman kanak-kanak wanita ini penuh berliku. Dibesarkan dengan kepayahan di Kampung Pantai Remis, Perak, anak keempat daripada lima beradik ini berazam ingin mengubah nasib keluarga tatkala melihat ibunya bersusah payah membuat kuih pada waktu pagi.

Ketika itu Nor Azila Mohd Azmi belajar untuk meringankan bebanan ibu dengan membantunya menambah pendapatan keluarga.

“Saya mula menjual donat di sekolah dan hasil jualan saya serahkan kepada ibu dengan diberikan sedikit komisen. Lama-kelamaan keseronokan mulai terasa, walaupun hanya mampu memegang duit sen, tetapi bagi saya nilainya sangat besar,” katanya.

Daripada donat dia beralih kepada penjualan buah pinang di kedai. Dengan tubuh kecil, Nor Azila cuba mengait dan mengumpul buah pinang masak di belakang rumah.

“Pinang yang dikumpul saya jemur kemudian dibawa ke kedai. Penat usah cerita kerana saya perlu melakukannya seorang diri sebaik pulang dari sekolah. Walaupun hanya mendapat RM5 sebulan, tetapi keseronokan sukar digambarkan,” katanya.

Mengakui seorang yang aktif dalam sukan di sekolah namun tidak begitu cemerlang dalam pelajaran, Nor Azila menamatkan pengajian dalam bidang kejururawatan dan berkhidmat sebagai jururawat di hospital kerajaan. Tetapi setiap bulan sumber kewangan tidak mencukupi untuk membantu keluarga.

“Saya akui kewangan bulanan tidak kukuh. Dengan gaji cukup-cukup makan saya perlu memenuhi keperluan ibu bapa. Lalu saya berjinak-jinak dalam perniagaan menerusi skim jualan langsung (MLM). Perniagaan ini memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi, malah menguji kesabaran. Jatuh bangun dalam MLM membuatkan saya semakin bersemangat melakukan yang terbaik,” katanya.

Bertekad mengubah masa depan keluarga akhirnya Nor Azila melepaskan jawatan sebagai jururawat kerana ingin memberikan perhatian dalam perniagaan MLM.

Hasil produk sendiri

Berasakan perlu menghasilkan produk jenama sendiri selepas bercuti di Korea Selatan empat tahun lalu, dia mula mencari idea mengenai konsep dan bahan digunakan.

“Di Korea saya lihat gadis di sana sangat cantik dan langsing. Saya terfikir apakah rahsia mereka. Daripada hasil pengamatan saya, orang Korea paling maju dalam dunia kecantikan menerusi teknologi dan bahan digunakan,” katanya.

Dia kemudian mula menjalankan kajian mengenai bahan dan teknologi yang bakal digunakan untuk pasaran di negara ini sehingga lahirnya losen langsing sejuk diberi nama Secret Correa atau bermaksud rahsia Korea.

Mengakui untuk berada dalam bidang perniagaan bukan sesuatu yang mudah. Dia percaya, semua orang mampu berniaga, namun untuk kekal berjaya dalam tempoh panjang ia memerlukan kesungguhan, komitmen dan istiqamah yang bukan sedikit.

KAKITANGAN syarikat sumber kekuatan Nor Azila.
KAKITANGAN syarikat sumber kekuatan Nor Azila.

“Pertama, saya perlu menetapkan matlamat iaitu ingin membantu masyarakat tampil cantik dan sihat. Kedua, saya ingin membina jaringan perniagaan dengan membantu stokis dan ejen berjaya bersama-sama saya. Saya tidak mahu mereka tersasar seperti saya dulu tanpa mentor. Jadi sebagai usahawan saya mahu stokis dan ejen mengikut pelan tindakan dan sistem yang sudah dibina untuk mereka,” katanya.

Menurut Nor Azila, ramai peniaga tidak mempunyai keyakinan diri yang jitu, oleh itu ada yang tidak dapat mengembangkan potensi diri dan hanya berada di takuk lama.

“Ini yang berlaku kepada sesetengah peniaga yang berhenti berniaga hanya kerana ingin mencuba produk orang lain selepas melihat kejayaan pemiliknya. Konsep ini salah. Selagi tidak menabur duit untuk ilmu sukar untuk mereka bergerak ke hadapan.

“Malah, menerusi ilmu juga seseorang individu mampu meniru kejayaan orang lain dan belajar menerusi kesilapan mereka. Sebab itu saya sangat tekankan kepada ejen dan stokis mendapatkan ilmu sebanyak mungkin supaya tidak tersalah laluan,” katanya secara berkias.

Pada masa senggang ibu kepada dua cahaya mata ini rajin membaca kisah kejayaan para nabi dan sahabat serta tamadun Islam yang banyak memberikan pengajaran. Dia mempelajari semangat tokoh Islam terdahulu yang cekal dan tidak berputus asa membangunkan tamadun. Malah, sejarah perjuangan Siti Khadijah yang terkenal sebagai usahawan berjaya dibaca penuh teliti.

“Menerusi pembacaan saya mendapat gambaran dan mempelajari kekuatan serta semangat mereka. Biarpun banyak halangan melanda namun usah berhenti sebelum mencapai apa yang diinginkan,” katanya.

Katanya, setiap usahawan perlu mempunyai semangat besar dan tidak hanya mengharapkan keuntungan semata-mata. Mereka perlu ada misi dan visi dalam perniagaan. Apa saja masalah atau cabaran melanda perlu disyukuri. Jika boleh tukar cara melihat masalah dan menjadikannya ia sebagai cabaran untuk memajukan perniagaan.

“Ini yang saya katakan sebagai berjiwa besar iaitu tidak akan berhenti sebelum perniagaan ‘menjadi’. Selain itu, untuk berjaya perlu menghormati keramat hidup seperti ibu bapa dan suami serta sanggup membuat pelaburan bukan saja kewangan, tetapi masa dan tenaga,” jelasnya yang kini turut mengadakan seminar buat peniaga yang ingin mendapatkan ilmu perniagaan.

Kini Nor Azila menyimpan azam yang lebih besar - ingin menjadi pembayar zakat tertinggi Selangor pada 2021 dan memasuki pasaran Indonesia pada tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 3:22 PM