MIA cabar kemampuannya sebagai pelakon.
MIA cabar kemampuannya sebagai pelakon.
Syafil Syazwan Jefri


MEMULAKAN langkah sebagai pelakon sejak 2004 memberikan peluang kepada pelakon muda, Mia Sara meneroka ruang lingkup dunia lakonan dengan lebih terperinci apatah lagi dia sendiri lahir daripada keluarga seni.

Kini, Mia yang menjengah usia 23 tahun mula bergerak dengan lebih berani untuk meneroka dunia lakonan menerusi pelbagai watak yang mencabar kemampuannya sebagai pelakon.

Berpeluang bertentang mata dengan anak sulung pelakon, pelawak dan pengacara, Datuk Afdlin Shauki ini baru-baru ini membuka pintu perbincangan mengenai percaturannya untuk bermain dalam dunia lakonan.

Siapa sangka, Mia, 23, pernah menerima 'tentangan' daripada Afdlin bagi meneruskan hasratnya untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan suatu ketika dahulu.

"Pada awalnya, ayah saya tak mahu saya sertai industri seni dan dia nak saya lanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan atau undang-undang. Satu lagi faktor adalah kerana dia sendiri tahu bagaimana perjalanan karier sebagai anak seni itu.

"Banyak kesulitan daripada pelbagai aspek antaranya kewangan, sumber dan sebagainya. Namun, apabila ayah mula nampak keghairahan saya dalam lakonan, dia mula memberikan keizinan," katanya.

Membuka cerita mengenai keizinan yang diberikan ayahnya, ia juga hadir dengan pelbagai pesanan dan nasihat.

"Ayah ada berikan pelbagai pesanan dan nasihat kepada saya, antaranya kerjaya sebagai anak seni di dalam industri ini bukan sesuatu yang mudah. Ramai orang akan muncul dengan pendapat masing-masing.

"Setiap apa yang dilakukan, tidak kira dari segi pembawakan diri, bahkan penampilan juga akan dihakimi. Jadi, itu antara nasihat yang diberikan," katanya.

Pernah membintangi hampir 10 karya, Mia sudah terbiasa berdepan kritikan netizen seperti yang pernah dilalui keluarganya.

MIA dapat keizinan bapanya, Afdlin untuk mencuba nasib dalam bidang seni.
MIA dapat keizinan bapanya, Afdlin untuk mencuba nasib dalam bidang seni.

MIA turut jayakan watak dalam Histeria The Series.
MIA turut jayakan watak dalam Histeria The Series.

"Saya sendiri dah lihat bagaimana ayah saya berdepan kritikan netizen sejak saya kecil. Saya dah terbiasa.

"Bukan saya dah bersiap sedia sepenuhnya, tapi apabila saya buat keputusan untuk melangkah masuk dalam industri, saya dah tetapkan minda saya untuk menerima kritikan dan kecaman secara terbuka.

"Lagi pula, bukan saya seorang sahaja yang berdepan perkara ini kerana orang lain pun yang bekerja dalam industri, melalui situasi sama," katanya.

Tatkala ayahnya membuat keputusan untuk menyertai dunia politik, Mia turut meluahkan mengenai kerisauan yang muncul.

"Saya memang ada perasaan risau, tapi pada masa sama, saya tak mahu masuk campur kerana ia adalah perkara berbeza. Saya tak ada pengetahuan dalam politik seperti ayah.

"Jadi, kalau orang nak gunakan apa yang saya buat untuk menghentam ayah, saya rasa ia tak sepatutnya berlaku kerana ia umpama dua dunia berbeza, umpama air dengan minyak," katanya.

Terbaharu, Mia kini membintangi drama bersiri Histeria The Series yang diangkat daripada filem seram yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu, Histeria.

"Dalam filem ini, saya memegang watak sebagai Alia, pelajar baharu yang mendaftar di Sekolah Seri Fatimah. Dia adalah remaja yang memberontak kerana mengalami masalah keluarga.

"Untuk drama ini, saya tak ada sebarang rujukan dari karya lain, sebaliknya berdasarkan pengamatan saya kepada rakan saya yang juga pernah berdepan situasi sama. Jadi, saya lihat corak kehidupannya dan keadaan keluarganya.

"Saya cuba terjemahkan apa yang saya lihat dan kaji ke dalam watak Alia," katanya.

Selain Mia, Histeria The Series turut dibintangi Sharifah Aryana, Amelia Christie, Serra Kamal, Liyana Jasmay, Ziana Zain, Tony Eusoff, Arash Mohamad dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 6:00 AM