WAFARIENA bermula sebagai penyanyi sebelum melebarkan langkah dalam lakonan.
WAFARIENA bermula sebagai penyanyi sebelum melebarkan langkah dalam lakonan.
Ridzuan Abdul Rahman

BOHONGLAH jika dikatakan seseorang pelakon tidak mengimpikan watak hero atau heroin dalam kerjaya mereka.

Begitulah juga dengan Wafariena Roslan, 25, yang teringin membawakan watak begitu.

Sebagai pendatang baharu, gadis berdagu lekuk ini akur peluang sedemikian tidak mudah diperoleh.

Bekas peserta pencarian Dewi Remaja 2019 ini bersetuju menerima watak antagonis sebagai Nurul Ain menerusi drama 7 Hari Mencintaiku 2 yang kini ditayangkan di TV3.

Siapa sangka drama ini mencetus fenomena dan impak tersendiri kepada Wafariena atau Wafa kerana peminat amat membenci wataknya sekali gus melonjakkan namanya.

"Alhamdulillah, rezeki saya kerana berjaya diterima peminat dengan watak ini. Mereka membenci tapi dalam masa sama membuktikan yang lakonan saya menjadi dan saya berjaya bawa watak ini dengan baik.

"Dari situ juga saya berdepan kecaman yang teruk daripada penonton dan macam-macam yang berlaku. Saya dah agak watak ini pasti mengundang perhatian.

WAFA semakin dihujani tawaran berlakon drama termasuk watak heroin.
WAFA semakin dihujani tawaran berlakon drama termasuk watak heroin.

"Biasalah ini memang cara warganet dan saya tak boleh buat apa-apa. Dah saya yang lakonkan watak ini, jadi kenalah terima. Lagipun mereka marahkan Nurul dan bukannya Wafa," katanya.

Menerusi drama yang mengisi slot Akasia ini, Nurul Ain adalah perosak rumah tangga Mia, lakonan Siti Saleha dan Khuzairi (Shukri Yahaya).

Lakonan yang ditampilkan Wafa menjadi dan bersahaja membuatkan ramai yang panas hati dengan Nurul Ain.

"Apa yang berlaku sebenarnya tak beri kesan sangat terhadap kehidupan seharian saya. Sebelum buat drama ini pun, ada yang kenal saya kerana saya dah pernah tampil dalam beberapa drama lain.

"Tapi dengan drama ini lagilah orang kenal saya. Cuma untungnya sekarang kita kena pakai pelitup hidung dan mulut, jadi orang tak dapat cam sangat.

"Namun kalau di kedai makan apabila buka pelitup hidung dan mulut, pasti ada yang kenal dan mendekati. Mereka bukan nak serang sebaliknya mahu bergambar," katanya.

Wafariena yang berasal dari Pulau Pinang melangkah masuk dalam industri lakonan sejak setahun lalu.

Dia pernah membintangi telefilem Kisah Seram Hostel untuk Astro, Main Kahwin-Kahwin (Astro), Rinding (TV3) dan filem Buntat.

"Bagi saya 7 Hari Mencintaiku 2 arahan Jamal Khan benar-benar bawa rezeki. Saya dapat panggilan daripada produksi minta saya bawakan watak Nurul Ain.

"Saya tertarik dan mahu mencuba watak yang berbeza daripada apa yang saya buat sebelum ini. Nurul Ain bawa cabaran tersendiri. Alhamdulillah, selepas ini saya dah semakin dihujani tawaran berlakon drama termasuk watak heroin. Inilah yang dikata rezeki," katanya.

Ramai juga yang tidak tahu, Wafariena sebenarnya bermula sebagai penyanyi sebelum melebarkan langkah dalam lakonan.

Dia yang bernaung di bawah syarikat MAP Music, muncul dengan single sulung berjudul Carilah Aku ciptaan Johari Teh dan lirik Aryan.

"Saya mula menyanyi sejak kecil dan aktif menyanyi sehingga lepas sekolah. Malah saya pernah menyanyi dengan pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang.

"Sehinggalah saya dapat panggilan daripada Johari Teh untuk uji bakat. Dia berminat dan seterusnya melamar saya sebagai artis MAP Music," katanya.

Ditanya berkenaan teman lelaki, anak keempat daripada tujuh beradik ini tidak menafikan sering didekati lelaki, namun tidak mengendahkannya.

"Biarlah dulu kerana saya ada kerjaya dan perlu fokus. Selain itu, saya juga nak bantu keluarga sara adik beradik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 6:00 AM