SITI Norsaliana (dua kanan) bersama Muhammad Saffuan, Siti Norkhariah, Muhammad Syahid serta Mohd Zamzuri (kanan) dan Siti Analiza (dua kiri) bergambar bersama sebelum berangkat awal pagi nanti. FOTO BERNAMA
SITI Norsaliana (dua kanan) bersama Muhammad Saffuan, Siti Norkhariah, Muhammad Syahid serta Mohd Zamzuri (kanan) dan Siti Analiza (dua kiri) bergambar bersama sebelum berangkat awal pagi nanti. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Seremban: Empat beradik di sini tidak menyangka dapat merealisasikan impian mereka sejak sekian lama menjadi tetamu Allah, apabila terpilih untuk menunaikan ibadah haji bersama-sama pada tahun ini.

Meluahkan kesyukuran, Siti Norsaliana Abu Khalid, 35, berkata ia adalah rezekinya bersama tiga adik-beradiknya iaitu Muhammad Saffuan, 34, Siti Norkhariah, 27, dan Muhammad Syahid, 18, selepas mula menabung sejak 2008 dan mendaftar haji pada tahun yang sama.

Malah suami Siti Norsaliana iaitu Mohd Zamzuri Ali, 36, dan adik iparnya Siti Analiza Mak Tapin, 34, turut sama menyertai mereka untuk mengerjakan ibadah haji itu.

"Saya ada seorang lagi adik yang juga menerima tawaran menunaikan haji pada tahun ini, tetapi dia baru melakukan pembedahan lutut dan terpaksa menolak tawaran tersebut.

"Ibu dan ayah juga dapat tawaran tunai haji, tetapi disebabkan mereka pernah menunaikannya sebelum ini mereka menolak dan ingin memberi peluang kepada orang lain," kata anak sulung itu kepada Bernama di sini, hari ini.

Siti Norsaliana yang menetap di Taman Kobena, Senawang berkata dia bersama adik-beradiknya berasa terkejut dan gementar, selepas menerima surat untuk mengerjakan Rukun Islam kelima itu pada April lalu namun mengakui teruja dengan segala persiapan sudah dilakukan sejak Aidlfitri lalu.

Jelasnya, dia pernah menolak tawaran untuk mengerjakan ibadah haji kali pertama pada 2020 namun disebabkan berfikiran masih muda ditambah Covid-19 melanda dunia ketika itu, Siti Norsaliana terpaksa menangguhkannya.

"Saya berasa amat sedih ketika tahun tersebut, mungkin niat ketika itu tidak betul jadi saya pujuk hati dan pujuk suami... mungkin ini jalannya dan Alhamdulillah rezeki datang pada tahun ini," katanya.

Siti Norsaliana berkata mereka dijadualkan berlepas ke Tanah Suci Mekah pada tengah hari esok dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 11:07 PM