IZIN anak tiri urus jualan imej sambil karier masi di bawah SNP.
IZIN anak tiri urus jualan imej sambil karier masi di bawah SNP.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Selama ini kerjaya seni Datuk Siti Nurhaliza Tarudin diuruskan keluarga melalui syarikatnya, Siti Nurhaliza Production (SNP) tetapi kini namanya turut disenaraikan sebagai artis A Klasse Management Sdn Bhd.

Hakikatnya syarikat pengurusan artis itu yang me­nyambut ulang tahun pertamanya baru-baru ini adalah milik Asyraf Khalid, dan bukan sesuatu yang mengejutkan apabila nama Siti turut disenaraikan.

Ditemui pada majlis yang diadakan di kediamannya baru-baru ini, Siti akui sentiasa menyokong apa yang dilakukan ahli keluarganya yang mahu menyertai dunia perniagaan.

Apabila anak tirinya menubuhkan syarikat pengurusan, dia juga sedia berpayung di bawah pengurusan A Klasse Management bersama Erra Fazira, Datuk Rosyam Nor, Fara Fauzana, Nad Zainal dan beberapa lagi artis ternama.

Cuma yang menjadi persoalan ialah bagaimana dengan SNP? Adakah ia bakal dibubarkan selepas penyanyi yang kini mempromosikan album konsert akustiknya menyertai A Klasse Management?

Siti menegaskan, perkara seperti itu tidak berlaku dan dia masih diuruskan SNP sepenuhnya. Bersama A Klasse Management pula, khusus menguruskan akaun Instagramnya.

“Kini akaun Instagram saya diuruskan A Klasse Management. Bermakna sesiapa yang mahu mengiklan, boleh datang kepada syarikat pengurusan Asyraf.

“Perkara seperti ini bagi saya bukan sesuatu yang baru kerana ramai artis melakukannya. Malah mereka yang berpengaruh dan bukan artis juga melakukan­nya,” katanya.

Kata Siti, dia bersetuju menyertai A Klasse Management dengan tujuan memberi sokongan terhadap perniagaan diusahakan Asyraf.

“Saya tidak rasa terpaksa untuk melakukannya dan ia tidak susah mana. Tidak sangka sebenarnya, untuk buat reviu dan disiarkan dalam Instagram boleh menjadi perniagaan.

“Dalam hal ini, kerja saya mudah kerana pengisian untuk iklan dimuat naik dalam Instagram saya disiapkan pihak pengurusan,” katanya.

Siti juga percaya dengan usaha dilakukan Asyraf apatah lagi dia sangat kenal sikap anak tirinya. Katanya, sejak dulu lagi Asyraf menunjukkan minat dalam dunia hiburan dan tidak sangka dia memilih untuk membina kerjaya dalam bidang itu juga.

“Saya percaya dia mampu melakukannya dan disebab­kan itu saya setuju bernaung di bawah syarikat pengurusan ditubuhkan.

“Asyraf juga berbeza dengan adik-beradiknya yang lain. Jika ayahnya kata tidak boleh, dia akan buat juga. Maklumlah sikap anak muda. Begitupun saya berbangga dengan kesung­guhan ditunjukkan,” katanya.

Siti akui semua artis yang bernaung di bawah syarikat pengurusan itu didapatkan oleh Ashraf sendiri tanpa meminta bantuan daripadanya walaupun kebanyakan mereka rakan baiknya.

“Dia siapkan kertas kerja, pergi berjumpa artis terbabit dan bermesyuarat dengan mereka. Akhirnya, selepas setahun, perkembangannya memang positif,” katanya.

Begitupun jika ada perniagaan lain di luar bidang kuasa kontrak pengurusan A Klasse Management yang ditandatangani itu, kata Siti anaknya harus bertemu SNP.

“Katakan kalau ada kontrak atau tawaran menjadi jurucakap produk atau mahu menganjurkan konsert, ia harus dilaksanakan secara profesional di mana pertemuan syarikat ­dengan syarikat harus dilakukan.

“SNP tidak akan ditutup kerana ia perniagaan yang saya bina bersama keluarga. Ia perit jerih saya dan tidak mungkin saya tinggalkan.

“Saya juga mengharapkan anak akan melakukan perkara sama. Bekerja keras dan membina empayar mereka sendiri seperti dilakukan bapa mereka,” katanya.

Siti, 36, yang berkahwin dengan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K, duda anak empat pada 21 Ogos 2006, turut bekerjasama dengan Adib apabila menerbitkan album Inggerisnya, All Your Love pada 2011 bawah label What’s Up Entertainment.

Ashraf yang juga anak ketiga Datuk K, melangsungkan pertunangan dengan pelakon sinetron Indonesia, Tya Arifin pada 20 Ogos lalu dan abangnya, Adib kini bercinta dengan pelakon Izara Aishah.

Anak sulung Datuk K, Anas Zawawi berkahwin dengan Allysa, anak kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:02 AM