AEDY fokus kepada kualiti berbanding populariti. FOTO Aziah Azmee
AEDY fokus kepada kualiti berbanding populariti. FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


SIAPA sangka, impian yang disimpan sejak sekian lama kini jadi kenyataan. Keterujaan dan kegembiraan itu dikongsikan pelakon, Aedy Ashraf, 28, apabila menggapai impiannya untuk membintangi filem aksi, War On Terror.

Menurut Aedy, dia pasti, bukan hanya dirinya, bahkan ramai juga pelakon memulakan langkah dalam dunia lakonan ini akan menyimpan impian untuk bergelar hero.

"Saya pasti, ramai pelakon yang menantikan tawaran untuk menjadi hero filem. Begitu juga saya. Sejak sekian lama, saya pernah bercita-cita untuk menjadi hero dalam filem, terutamanya filem aksi. Alhamdulillah, kini ia menjadi kenyataan," katanya.

Memegang watak sebagai Khalid yang juga pegawai polis, Aedy menganggap tugasan ini sebagai tanggungjawab besar yang perlu digalasnya sebagai pelakon.

"Ini adalah filem aksi padat yang pertama saya akan lakonkan. Wataknya juga boleh saya gambarkan sebagai watak yang besar buat saya. Sebagai pelakon, saya rasakan ini sebagai satu cabaran besar dalam hidup sepanjang bergelar anak seni," katanya.

Tidak hanya menggalas tanggungjawab untuknya sebagai pelakon, Aedy juga menganggap ia tugas besar memandangkan watak disandangnya itu pegawai polis.

"Ia adalah satu tekanan buat saya, namun, saya lihat tawaran untuk memegang watak sebagai polis ini adalah tekanan positif. Saya menerimanya untuk menjadi satu penada aras baru buat diri saya.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah satu badan yang ada kredibiliti. Jadi, menjadi tanggungjawab yang besar untuk saya menterjemahkan kisah dunia kepolisan menerusi watak Khalid yang saya pegang kerana saya membawa imej mereka," katanya.

AEDY bersama barisan pelakon filem War On Terror.  FOTO Aziah Azmee
AEDY bersama barisan pelakon filem War On Terror. FOTO Aziah Azmee

Menjadikan beberapa filem seperti Sicario, 21 Bridges dan banyak lagi sebagai sumber rujukan, Aedy turut berkongsi mengenai proses latihan yang sangat berat dan hasratnya untuk melakukan sendiri babak aksi.

"Banyak latihan yang perlu saya jalani antaranya, latihan praktikal bagaimana untuk menggunakan senjata api dan sebagainya. Tambahan pula, masa yang diberikan agak singkat, jadi memang perlu berikan komitmen sepenuhnya.

"Mengenai babak-babak aksi, pihak produksi ada menyediakan pelagak ngeri bagi melancarkan proses penggambaran. Namun, dari pihak saya, saya ada luahkan hasrat kepada pengarah untuk melakukan sendiri babak-babak aksi," katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan kariernya, Aedy meluahkan rasa syukur kerana semuanya tersusun dengan baik.

"Karier seni saya tersusun dengan sendirinya. Alhamdulillah, graf perjalanan karier seni saya nampak cantik. Ada transisi juga dalam genre lakonan saya daripada kisah cinta, menuju ke arah genre aksi.

"Satu lagi genre filem yang ingin saya cuba adalah, autobiografi. Saya teringin sangat nak melakonkan watak seorang tokoh sebab bagi saya, itu adalah cabaran besar untuk seseorang pelakon.

"Kalau filem fiksyen, kita boleh cipta watak itu dengan sendirinya mengikut kehendak skrip dan pengarah. Tetapi, untuk melakonkan watak seorang tokoh, kita perlu lakukan kajian dari segi percakapan, cara berjalan dan sebagainya," kata Aedy yang sudah berpuluh tahun berada dalam industri namun namanya masih kekal relevan sehingga ke hari ini.

Baginya, populariti bukanlah keutamaannya, sebaliknya dia ingin memberikan komitmen dan hasil kerja yang memberangsangkan.

Terbaharu, Aedy juga bakal muncul menerusi telefilem berjudul Dania lakonan bersama pelakon, Putri Balqis yang akan ditayangkan di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 7:00 AM