WATAK Han Solo janggal tanpa pelakon asal.
WATAK Han Solo janggal tanpa pelakon asal.
HM Digital

Bagi peminat jenama Star Wars, pastinya akan ada perasaan berbelah bahagi terhadap filem terbaru ini.

Menghasilkan sebuah filem mengenai watak ikonik, Han Solo, tanpa pelakon asalnya, Harrison Ford berupakan risiko.

Jadi, siapa yang dikatakan boleh mengikut jejak langkah watak ikonik itu? Maka muncullah Alden Ehrenreich sebagai pengisi.

Aspek lakonan, Alden sedaya upaya menunaikan tanggungjawabnya tetapi jauh dalam benak hati penonton tegar Star Wars, Han Solo hanya untuk Ford.

Alden kelihatan gigih memastikan setiap gerak tubuh, bahasa dilontar, momen serta pandangan matanya persis Solo.

Namun, untuk menonton filem ini sebagai sebuah filem tanpa Solo juga agak mustahil kerana penonton acap kali diingatkan bahawa Alden adalah insan yang pegang watak Solo, sehinggakan berkali-kali penonton disogok dengan imej rantai dadu yakni ‘tangkal tuah’ Solo yang sering dipaparkan dalam siri Star Wars sebelum ini.

Aspek penceritaan pula, ia seolah seseorang tiba-tiba sahaja ada idea untuk hasilkan sebuah cerita mengenai Han Solo dan untuk lebih meyakinkan peminat, sumbat sahaja babak-babak legenda seperti siri-siri terdahulu.

Paling ‘malas’ adalah bagaimana Han Solo dapat nama. Hanya dengan wujudkan babak Han dapat nama akhir daripada pegawai ‘imigresen’ sebab dia mengembara secara solo.

Bukankah lebih besar impak jika sejarah nama itu diperoleh daripada suatu pengkisahan yang bermakna?

Kerja kamera, ada bahagian tertentu yang agak mengecewakan, contohnya babak-babak awal perkenalan hubungan antara Han dan teman wanitanya, Qi’ra. Ia seolah menonton satu babak daripada sebuah drama telenovela.

Babak yang berjaya menarik perhatian, rasanya pada babak aksi Han dan krunya cuba merompak keretapi yang sedang bergerak.

Begitu juga babak tatkala mereka terperangkap dalam laluan ‘worm hole’ dan terpaksa meredah ribut angkasa.

Di akhir cerita, karya ini berusaha menjadikan ia sebuah filem Star Wars yang mampu berdiri sendiri dengan mengetengahkan karakter legenda yang pasti memainkan peranan besar di dalam sekuel.

Biarpun ada karakter yang diwujudkan untuk timbulkan perdebatan sesama peminat dan pemikir, naratif filem, perkembangaran karakter, aksi dan kesan khas sepatutnya diberi lebih masa untuk diperkemaskan.

INFO:

Solo: A Star Wars Story

ARAHAN: Phil Lord, Christopher Miller dan Ron Howard

PELAKON: Alden Ehrenreich, Woody Harrelson, Emilia Clarke, Donald Glover, Thandie Newton, Phoebe Waller-Bridge dan Paul Bettany

GENRE: Cereka sains aksi

TAYANGAN: 24 Mei 2018

ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 4:24 AM