FARA sentiasa terbuka untuk melakukan sendiri babak lasak. FOTO Aziah Azmee
FARA sentiasa terbuka untuk melakukan sendiri babak lasak. FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


Nama pelakon Farali Khan mungkin belum cukup dikenali dalam industri seni lakon tanah air. Namun, bagi peminat dan pengikut filem bergenre aksi, nama figura ini tentunya tidak lagi asing.

Berjaya mencipta dan menempa nama di Indonesia menerusi beberapa sinetron serta filem, pelakon dengan nama asal Norfara Ali Dad Khan ini kini mengorak langkah dan mencipta namanya sebagai pelakon di tanah air sendiri.

Pernah membintangi beberapa filem aksi antaranya Polis Evo 3 dan The Assistant, kemampuan pelakon berusia 33 tahun itu dalam melakukan babak aksi berjaya membuka mata banyak pihak.

Dilihat sebagai pelakon filem aksi, Farali yang mesra disapa Fara sememangnya mula jatuh hati dengan genre itu sejak awal lagi.

"Saya sangat sukakan filem aksi sebab kepuasan memang sangat berbeza. Walaupun akan ada kecederaan dan penat lelah ketika menjalani penggambaran, namun apabila melihat hasil akhirnya itu akan membuatkan saya rasa puas dengan hasil kerja saya," katanya.

Menurutnya, sepanjang bergelar pelakon filem aksi, dia sentiasa terbuka untuk melakukan sendiri babak aksi.

"Setakat ini, saya tak ada menggunakan sebarang pelakon pendua sebab semua aksi dalam filem yang saya lakonkan, saya buat sendiri. Sebab itu saya sendiri merasai beberapa pengalaman cedera dan sebagainya," katanya.

Ditanya mengenai kecederaan yang paling memberi impak dan sentiasa tersemat dalam ingatannya, Fara berkongsi mengenai situasi mencemaskan tatkala rahangnya terganjak dari kedudukan asal.

KECEDERAAN yang dialami tidak mematahkan semangat untuk menjayakan watak aksi. FOTO Aziah Azmee
KECEDERAAN yang dialami tidak mematahkan semangat untuk menjayakan watak aksi. FOTO Aziah Azmee

"Ketika menjalani penggambaran untuk satu filem aksi, rahang saya pernah terganjak (dislocated) dari kedudukan asal. Saya rasa itu adalah perkara yang paling teruk kerana saya tak dapat bercakap dan makan untuk beberapa jam.

"Selepas menjalani rawatan dan fisioterapi, mujur semuanya kembali okay. Lagi satu, saya rasa teruk kerana ia berlaku di muka dan kepala. Kalau setakat lebam-lebam dan cedera di badan, itu normal," katanya.

Turut aktif sebagai peninju dan pernah menyertai pelbagai pertandingan berkaitan sukan itu, Fara juga tidak menolak sekiranya ditawarkan watak dalam filem bergenre lain selain aksi.

"Saya tak ada masalah untuk berlakon dalam genre selain aksi. Namun, saya kena lihat dan teliti terlebih dahulu watak yang ditawarkan. Sekiranya ia sesuai dengan selera saya, saya akan terima.

"Maksud saya, kalau watak romantik contohnya, akan ada pelbagai jenis watak romantik contohnya komedi, keagamaan dan sebagainya. Jadi, saya akan teliti dan lihat kesesuaian," katanya.

Ditanya sama ada dia selesa bergelar pelakon filem atau akan kembali berlakon drama di kaca TV, Fara dengan pantas memberikan jawapan tepat.

"Saya jenis yang suka berterus terang dan terus terang saya katakan, saya memang sukakan filem. Saya tak tahu bagaimana ada sesetengah orang yang boleh berlakon dalam drama dan filem pada masa sama, tetapi untuk saya, saya akan teruskan dengan filem.

"Di Malaysia, saya pernah berlakon dalam satu drama ketika awal-awal kemunculan saya iaitu Black Belt Kaler Pink beberapa tahun lalu. Itu pun drama yang ada kaitan dengan aksi dan komedi," katanya.

Terbaharu, Fara bakal membintangi filem aksi yang mengangkat dunia kepolisan berjudul War On Terror.

FARA jalani latihan dan menjaga pemakanannya. FOTO Aziah Azmee
FARA jalani latihan dan menjaga pemakanannya. FOTO Aziah Azmee

"Dalam filem War On Terror, saya memegang watak sebagai Anis. Dalam filem ini, Anis digambarkan sebagai ketua dalam pasukan polis elit yang sangat tegas dan patuh kepada protokol.

"Walaupun tegas, dia masih nampak ada ciri-ciri kewanitaan. Namun, jangan mudah leka kerana dia mampu melakukan apa sahaja termasuk menggunakan senjata api sehingga aksi yang sangat mencabar," katanya.

Ditanya mengenai rujukannya dalam menjayakan watak Anis, Fara berkata, dia adalah pelakon yang lebih gemar mencipta satu watak khas mengikut kesesuaian jalan cerita dan kehendak pengarah.

"Setiap kali membintangi sesuatu filem, saya jenis yang tak suka mencari rujukan daripada karya sedia ada. Saya lebih suka berjumpa dan berbincang dengan pengarah, bertanya bagaimana gambarannya sebagai pengarah.

"Dari situ, saya akan wujudkan watak itu mengikut kesesuaian jalan cerita dan bagaimana yang pengarah mahukan," katanya.

Ditanya mengenai persediaannya untuk filem ini, Fara berkata, dia menjalani latihan dan menjaga pemakanannya.

"Pengarah tidak meminta saya untuk mengubah bentuk badan atau apa, tetapi semuanya adalah atas inisiatif sendiri sebagai pelakon. Bila ditawarkan untuk berlakon dalam filem aksi, saya sendiri akan menjaga diet saya untuk memastikan stamina saya kuat.

"Untuk filem ini pun, pengarah memberitahu saya bahawa saya perlukan stamina dan kekuatan memandangkan sesi latihannya pun benar-benar mencabar apabila saya perlu membawa senjata yang sangat berat," katanya.

Selain Fara, filem arahan pengarah Kroll Azry ini turut dibintangi barisan pelakon antaranya Aedy Ashraf, Qi Razali, Noki K-Clique, Kahoe Han dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 6:30 AM