IKMAL Amry melihat kecaman negatif  netizen bukti kehadiran sesuatu karya. pelakon disedari ramai.
IKMAL Amry melihat kecaman negatif netizen bukti kehadiran sesuatu karya. pelakon disedari ramai.
Syafil Syazwan Jefri


FILEM Pulau menjadi bualan hangat di media sosial baru-baru ini sejak treler filem itu mula dilancar dan ditayangkan kepada umum.

Walaupun belum tiba tarikh tayangan, karya itu nampaknya sudah mula menuai hujatan hebat netizen dek kerana babak-babak 'panas' yang dipaparkan.

Pelakonnya, Ikmal Amry yang memegang watak sebagai Khai dalam filem itu melihat situasi yang berlaku dari sudut positif dan menggunakan peluang itu sebaik mungkin.

"Kecaman netizen terhadap filem ini menunjukkan bahawa orang ramai nampak kewujudan karya dan hasil kerja kita. Sebagai pelakon, saya anggap ini sebagai peluang besar. Sekurang-kurangnya, saya tak ada dalam babak-babak 'panas' itu.

"Khai seorang lelaki yang ekstrim, penyayang dan pada masa sama, memendam perasaan terhadap Kat lakonan Amelia Henderson. Tapi, dia ada egonya dan tak menunjukkan rasa sayangnya secara terus terang.

"Saya tertarik untuk terbabit dalam projek ini selepas melihat nama Alif Satar dan Amelia, yang mana kedua-duanya pernah bekerjasama dengan saya sebelum ini. Jadi, saya rasa, tak sukar untuk kami mencari keserasian. Selain itu, jalan cerita filem Pulau ini juga turut menarik perhatian saya untuk terbabit sama," katanya.

Menurut Ikmal, dia juga bersyukur kerana tidak terbabit sama dalam babak-babak 'panas' yang dihentam hebat netizen.

"Ketika ditawarkan, saya tak tahu pula filem Pulau ini ada babak-babak 'panas'. Yang saya tahu adalah penggambaran akan dijalankan di Langkawi dan jalan ceritanya menarik.

"Bila saya meneliti skripnya, Alhamdulillah, tak ada babak-babak 'panas' yang membabitkan saya. Jadi, saya cuma buat apa yang disuruh, cumanya kalau melampaui batas, saya elakkan," katanya.

Ditanya sama ada dia terbuka untuk berlakon dalam babak-babak 'panas' sekiranya diminta pengarah, Ikmal akan berfikir lebih panjang sebelum membuat sesuatu keputusan.

"Kalau nak cakap saya orang yang baik pun, tidak juga. Saya rasa, orang di luar sana pun tahu, saya orang yang bagaimana.

"Pernahlah satu ketika dahulu, ada pengarah yang meminta saya untuk terbabit dalam babak 'panas'. Kalau sebelum kahwin dulu, mungkin saya terima. Tapi, bila berkahwin dan berkeluarga, saya memikirkan mengenai isteri dan anak saya. Jadi, kalau tak buat pun tak apalah.

"Saya jadi lebih memilih dan sanggup tolak sekiranya tawaran itu memerlukan saya melakukan perkara-perkara yang tidak bersesuaian," katanya.

Berkongsi perkembangan terkininya, Ikmal memaklumkan bahawa sudah lebih tujuh bulan dia tidak terbabit dalam sebarang kerja-kerja lakonan.

"Saya anggap ini sebagai rezeki kerana Allah berikan peluang untuk saya melihat anak membesar di depan mata. Tak semua orang dapat rezeki ini, untuk melihat perkembangan anak dan luangkan masa bersama keluarga.

"Mungkin ini juga adalah hikmah daripada kemalangan jalan raya yang melanda kami sekeluarga sebelum ini. Mungkin Allah nak saya luangkan masa bersama isteri dan anak," katanya.

Terbaharu, Ikmal akan kembali ke set penggambaran Gantung The Series musim kedua selepas lima tahun muncul dalam musim pertama.

"Insya-Allah, Gantung 2 akan memulakan penggambaran tidak lama lagi. Ini sambungannya selepas tujuh tahun kami muncul dalam Gantung pertama. Kalau sebelum ini, semua pelakonnya adalah 'budak-budak' (remaja), sekarang, semuanya sudah menjadi bapa orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 6:13 AM