Pelakon, Aedy Ashraf. FOTO Aziah Azmee
Pelakon, Aedy Ashraf. FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Jika sebelum ini, pelakon, Aedy Ashraf enggan mengulas mengenai tindakannya 'melamar' kekasihnya yang juga pelakon, Amelia Henderson di hadapan khalayak dalam satu acara pada hujung Mac lalu, kini, Aedy membuka mulut dan mengakui terkejut dengan tindakannya itu.

Menurutnya, tindakan itu tidak dirancang dan tidak diketahui oleh Amelia.

"Ia berlaku secara semula jadi. Saya pun terkejut dengan apa yang berlaku. Sejujurnya, ia tak dirancang dan Amelia pun tak tahu apa-apa pada ketika itu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut pelakon berusia 28 tahun itu, dia bagaimanapun berkongsi rasa terharu dan berterima kasih kepada peminat yang menyokong hubungan mereka.

"Saya rasa terharu sebab dapat sokongan daripada peminat. Bukan sahaja peminat dari Malaysia, bahkan ada juga peminat dari Singapura. Saya ucapkan terima kasih," katanya.

Ditanya mengenai perkembangan hubungan mereka, Aedy memaklumkan bahawa kedua-dua mereka sibuk dengan urusan kerja masing-masing.

"Saya memang meletakkan kerja sebagai keutamaan. Dia pun sangat sibuk dengan kerja-kerjanya. Saya rasa, itu adalah persamaan yang membuatkan kami serasi.

"Kami tak keluar 'dating', sebaliknya sekarang berhubung menerusi telefon," katanya.

Aedy dan Amelia mula digosipkan sebagai pasangan bercinta selepas bergandingan bersama dalam drama berjudul Kisah Cinta Kita, yang ditayangkan pada tahun lalu.

Aedy ditemui di majlis sidang media dan bacaan doa selamat filem aksi terbaharu berjudul War On Terror. Filem yang mengangkat kisah kerjaya kepolisan itu diarahkan oleh pengarah, Kroll Azry dan turut membariskan barisan pelakon antaranya, Farali Khan, Qi Razali, Noki K-Clique dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 7:15 PM