GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Bandar Baharu: Ibu dan bapa tiri seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang maut dipercayai akibat didera ditahan di rumah mereka di daerah Kubang Pasu, hari ini.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, polis menerima maklumat dari Hospital Jitra (HJ) berkaitan kematian kanak-kanak terbabit pada 7.30 petang semalam.

Beliau berkata, berikutan itu pihaknya menahan ibu kanak-kanak itu yang berusia 26 tahun serta bapa tirinya berusia 22 tahun untuk membantu siasatan.

"Pada mulanya kita siasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun tengah hari kita menerima laporan bedah siasat terhadap jasad kanak-kanak itu.

"Hasil laporan doktor mendapati usus kanak-kanak itu pecah dan jika dilihat pada badannya mempunyai kesan pukulan serta kecederaan di belakang dan hadapan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Wan Hassan berkata, berikutan itu ibu dan bapa tiri kanak-kanak itu ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk siasatan lanjut.

"Wanita itu tidak bekerja manakala suaminya bekerja sebagai peniaga air dan pasangan ini dipercayai baru berkahwin antara tiga hingga empat bulan lalu.

"Wanita ini mempunyai dua lagi anak berusia empat dan enam tahun. Mangsa dipercayai anak bongsunya," katanya.

Wan Hassan berkata, jika dilihat pada badan mangsa, memang terdapat elemen penderaan yang boleh mengakibatkan kematian.

Beliau berkata, pihaknya percaya terdapat unsur tekanan pada badan mangsa dan doktor memaklumkan usus kanak-kanak itu pecah berkemungkinan akibat dipijak atau sebagainya.

"Kedua-dua suspek membuat pengakuan pernah memukul kanak-kanak itu tetapi tahap mana pukulan yang dilakukan belum dapat dipastikan lagi kerana kanak-kanak itu masih kecil yang boleh menyebabkan kematian.

"Hasil ujian saringan air kencing terhadap pasangan itu mendapati kedua-duanya negatif," katanya.

Wan Hassan berkata, hasil siasatan mendapati, suspek wanita mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah manakala lelaki itu tiada rekod sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 6:47 PM