Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Polis negeri ini mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes penculikan kanak-kanak untuk dibawa ke sempadan Malaysia-Thailand kononnya dilakukan sindiket penjualan organ manusia.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, tindakan seperti itu hanya akan menimbulkan kegusaran dan kebimbangan awam.

Beliau berkata, tindakan tegas boleh diambil termasuk menahan individu yang didapati menyebarkan maklumat tidak tepat atau palsu.

"Jangan tular dulu jika maklumat tidak sahih atau tepat sebaliknya semak dahulu dengan pihak berkaitan untuk mengetahui maklumat lebih terperinci.

"Sekarang ini memang gempar isu penculikan kanak-kanak di media sosial yang memang tidak pasti kebenarannya.

"Di Kedah memang ada dua laporan polis yang diterima iaitu masing-masing satu di Gurun dan Tanjung Dawai di daerah Kuala Muda yang menyatakan ada individu memanggil pelajar sekolah tetapi apabila kita panggil mereka dan siasat, ia hanya salah faham saja," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

DATUK Wan Hassan Wan Ahmad. FOTO Zuliaty Zulkiffli
DATUK Wan Hassan Wan Ahmad. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Wan Hassan berkata, bagaimanapun beliau menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi anak masing-masing selain menjemput anak di sekolah pada waktu yang ditetapkan.

Beliau berkata, orang ramai juga perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan jika melihat individu yang mencurigakan, hubungi polis dengan segera atau maklumkan kepada pihak sekolah untuk mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.

"Pihak sekolah juga perlu melakukan pengawasan bagi memastikan pelajar sekolah berada dalam kawasan sekolah sebelum dijemput ibu bapa masing-masing.

"Malah ibu bapa juga perlu mengambil anak lebih awal bagi mengelakkan anak-anak mereka merayau di luar kawasan sekolah kerana menunggu terlalu lama," katanya.

Wan Hassan berkata, kawalan di sempadan Malaysia-Thailand iaitu di Bukit Kayu Hitam dan Kota Putra di Durian Burung turut diperketatkan bagi memastikan tiada unsur membawa individu atau barang larangan keluar dari negara ini secara tidak sah.

Beliau berkata, pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sentiasa mengawasi sempadan dan sekiranya menerima maklumat berkaitan kejadian mencurigakan, tindakan segera akan diambil.

"Kita berharap perkara ini dapat ditangani namun berharap ia (penculikan) tidak akan berlaku dan tindakan tegas akan diambil sekiranya ia berlaku juga.

"Namun kita akan cuba wujudkan pasukan polis ronda untuk melakukan rondaan di kawasan 'hot spot' yang dikenal pasti pada waktu pagi, tengah hari dan petang di kawasan sekolah bagi membendung kejadian seperti ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 4:25 PM