Tiga beradik ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Seberang Kedai, Lawas, malam tadi. FOTO IHSAN JBPM
Tiga beradik ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Seberang Kedai, Lawas, malam tadi. FOTO IHSAN JBPM
Mohd Roji Kawi


Lawas: Tiga beradik ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Seberang Kedai, di sini, malam tadi.

Pada kejadian 10.50 malam itu, mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Hesdi Huzaidi Azrie, 4; Mohd Hezmi Huzaili, 7 dan Mohd Hezry Huzaimi, 8.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada MERS999 berhubung kejadian itu pada 11.02 malam.

Beliau berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan.

"Setibanya di tempat kejadian yang terletak 17 kilometer dari balai, didapati api sedang marak di sebuah rumah dua tingkat berstruktur separuh kekal.

"Api berjaya dipadam sepenuhnya pada 12.45 tengah malam dan rumah terbabit musnah sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, enam lagi penghuni rumah terbabit iaitu bapa mangsa, Azrie Latip, 45; ibu mereka, Dayangku Hadianawati, 38 serta kakak dan abang mereka iaitu Ariesya Aryana Azrie, 14 dan Muhd Hezrie, 12, selamat dalam kejadian itu.

Turut selamat, datuk mereka Awangku Jeman Pangiran Abdul Hamid, 72 serta nenek, Aminah Matusop, 73.

"Mayat ketiga-tiga beradik itu sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 8:12 AM