GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah merompak pekerja kedai serbaneka dengan bersenjatakan pisau tahun lalu.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan tertuduh, Azwandes Matusop, 39, dan mensabitkannya dengan pertuduhan.

Beliau memerintahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 15 Februari 2021.

Mengikut kertas pertuduhan, Azwandes didapati melakukan rompak dengan bersenjatakan pisau terhadap Nurshahira Jailin, 23, dan mengambil wang tunai dan sekotak rokok, membabitkan kerugian kira-kira RM110.70.

Perbuatan itu dilakukan di kedai serbaneka di Jalan BP1, Taman Bertam Perdana, pada 14 Februari 2021, kira-kira jam 6.32 pagi dan dituduh mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa baru habis memberi kucing makan di luar kedai dan memasuki semula premis serta menutup pintu utama.

Kemudian muncul tertuduh yang memakai pelitup muka dan topi keledar memberitahu ingin membeli rokok dan sebaik dibenarkan masuk dia terus menulis nama dan mengimbas suhu sebelum ke kaunter.

Sebaik pekerja terbabit menghulurkan rokok diminta, lelaki itu bertindak mengeluarkan pisau pemotong daging dari beg dan meletakkannya di atas kaunter bayaran serta meminta mangsa menyerahkan duit.

Mangsa yang ketakutan menyerahkan wang RM60 dan rokok kepada tertuduh yang beredar menaiki motosikal.

Hasil penelitian rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di dalam premis, Cawangan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka berjaya menemui tiga cap jari dan menangkap tertuduh.

Terdahulu, dalam rayuannya bapa kepada lima anak itu merayu hukuman ringan dan penjara bermula dari tarikh dia ditangkap kerana sudah insaf dan menyesali kesalahannya.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari bagaimanapun berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 6:38 PM