Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kontak rapat kepada pesakit Covid-19 yang tidak bergejala dan berumur lebih 18 tahun serta sudah menerima dos penggalak tidak perlu menjalani Perintah Perintah Pemantauan dan Pemerhatian (HSO) berkuatkuasa 1 Mac ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, mereka bagaimanapun perlu melakukan ujian Rapid Test Kit (RTK) kendiri pada hari pertama dan ketiga daripada tarikh akhir pendedahan kepada kes positif Covid-19.

"Laporkan keputusan ujian positif melalui MySejahtera pengendalian individu itu adalah mengikut prosedur pengurusan kes positif sedia ada.

"Manakala kontak rapat kes Covid-19 berusia 18 tahun dan ke atas sudah menerima dos penggalak tetapi bergejala dan penerima vaksinasi lengkap dan bergejala atau tidak perlu menjalani HSO selama lima hari," katanya pada sidang media Covid-19, hari ini.

Khairy berkata, individu kontak rapat yang bergejala perlu lakukan ujian RTK Antigen (professional atau kendiri) pada hari kelima dan boleh dilepaskan daripada HSO sekiranya keputusan negatif Covid-19.

"Lakukan ujian sekiranya bergejala dalam tempoh lima hari dari tarikh akhir pendedahan kepada kes positif Covid-19.

"Sekiranya positif, laporkan keputusan ujian melalui MySejahtera. Pengendalian individu terbabit adalah mengikut prosedur pengurusan kes positif sedia ada," katanya.

Beliau berkata, kontak rapat kepada kes Covid-19 dalam kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas di mana bergejala ataupun tidak bergejala serta tidak lengkap vaksinasi atau belum menerima vaksinasi perlu menjalani HSO selama tujuh hari.

"Kontak rapat kepada kes Covid-19 berusia bawah 18 tahun dan lengkap vaksinasi perlu menjalani HSO selama lima hari.

"Tidak lengkap vaksinasi atau belum menerima vaksin bagi bawah 18 tahun perlu menjalani HSO selama tujuh hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 5:54 PM