GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sembilan lagi kes Covid-19 dikesan berkait dengan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang diadakan pada 26 hingga 29 Julai lalu menjadikan jumlah keseluruhan adalah 97 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sembilan kes berkenaan membabitkan empat kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 hasil saringan ketika Pra-Dewan Rakyat.

Beliau berkata, empat kes ini dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan dikesan positif Covid-19 menggunakan Rapid Test Kit Antigen (RTK Ag) pada 23 Julai lalu.

Katanya, semua kes didapati bergejala ringan dan diberi Perintah Pengawasan dan Kawalan (HSO) di rumah, mereka juga sudah pulih dan mulai bekerja selepas tamat HSO.

"Satu kes baharu dilaporkan hari ini yang mana kes ini juga adalah kes kematian pertama yang baharu dikesan positif Covid-19 dengan ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT- PCR) pada 31 Julai lalu.

"Kes ini hadir semasa persidangan Dewan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, empat kes lagi adalah kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 yang hadir semasa persidangan Dewan Rakyat.

"Satu kes mempunyai nilai kitaran ambang atau CT value RT PCR iaitu 19.62, manakala yang lainnya adalah di antara 32.76 sehingga 36.07.

"Daripada jumlah itu juga enam kes lengkap mendapat dua dos vaksin dan dua kes adalah kanak-kanak (kontak rapat kes) yang belum layak mendapat vaksin," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan KKM setakat ini mendapati walaupun kes positif ini tidak mempunyai hubung kait antara satu sama lain kecuali kontak rapat, namun perkongsian bilik dan kemudahan asas seperti tandas, surau dan ruang makan oleh ramai individu memberi risiko kepada penularan jangkitan Covid-19 di Parlimen.

"Dimaklumkan juga bahawa lapan sampel kes Parlimen yang mempunyai CT value rendah dihantar ke IMR untuk ujian genomik, didapati lima daripadanya adalah varian membimbangkan (VOC) Delta.

"Manakala dua sampel tidak berjaya diproses dan satu satu sampel lagi masih menunggu keputusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 7:57 PM