GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) membuat penilaian semula dan menetapkan tempoh baharu bagi pengasingan kes positif Covid-19 serta kontak rapat yang berkuat kuasa esok.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, tempoh pengasingan kes positif Covid-19 bagi semua jenis varian termasuk Omicron yang membabitkan individu sudah lengkap divaksinasi serta tidak bergejala adalah selama tujuh hari, berbanding 10 hari sebelum ini.

"Bagi individu positif yang tidak lengkap vaksin atau bergejala, tempoh pengasingan adalah selama 10 hari.

"Penilaian kesihatan akan dibuat sebelum pelepasan boleh diberikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairy berkata, penilaian semula itu dibuat berdasarkan data, sains dan pengalaman negara-negara lain berkaitan pengurusan kes positif Covid-19 dan kontak rapat kepada kes positif.

Sebelum ini, individu yang disahkan positif Covid-19 perlu menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari dan tidak perlu melakukan ujian ulangan.

Bagi kontak rapat yang sudah mendapatkan pelalian Covid-19 yang lengkap, mereka perlu menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari dan menjalani ujian pada hari kelima.

Sekiranya kontak rapat berkenaan masih belum mendapatkan vaksinasi yang lengkap atau tiada vaksin, perlulah menjalankan kuarantin selama 10 hari dan ulangi ujian pada hari kelapan.

Sementara itu, Khairy berkata, bagi tempoh pengasingan kontak rapat pula, individu yang sudah menerima dos penggalak perlu menjalani kuarantin selama lima hari.

"Manakala tujuh hari ke atas individu yang lengkap vaksinasi, yang belum lengkap atau tiada vaksinasi.

"Tempoh yang dinyatakan ini berkuat kuasa esok dan turut terpakai ke atas mereka yang sedang menjalani pengasingan dan kuarantin.

"Prosedur sedia ada bagi pengurusan pengembara yang baru tiba ke Malaysia masih terpakai," katanya.

Tambah Khairy, sekiranya individu berkenaan menunjukkan gejala, mereka haruslah melakukan ujian pengesanan jangkitan Covid-19 menggunakan RTK-Ag, sama ada kendiri atau ke fasiliti kesihatan berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Keputusan ujian kendiri hendaklah dimasukkan ke dalam MySejahtera, jalani ujian RTK-Ag sama ada di fasiliti kerajaan atau swasta pada hari ke-5 (untuk kuarantin lima hari) dan hari ke-7 (untuk kuarantin tujuh hari).

"Pelepasan kuarantin akan diberikan pada hari yang sama ujian pengesanan RTK-Ag dijalankan sekiranya keputusan adalah negatif dan tidak bergejala," katanya.

Khairy berkata, pihaknya sudah meningkatkan kesiapsiagaan sistem perkhidmatan kesihatan dalam menghadapi kemungkinan peningkatan kes susulan pelaporan jangkitan varian Omicron dalam negara.

"Oleh itu, KKM menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin Covid-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optima serta mengelakkan gejala jangkitan Covid-19 yang teruk serta komplikasinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 4:29 PM