BARAH testis semakin dihidapi ramai golongan muda.
BARAH testis semakin dihidapi ramai golongan muda.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


"SAYA pernah terfikir hanya mahu membiarkan sel barah merebak dan meninggal dunia.

"Saya jadi begitu kerana terlalu sedih dan tidak boleh menerima hakikat menghidap barah pada usia muda. Ditambah pula kerjaya sedang meningkat naik," luah Carson Lee, 28.

Carson berkongsi pengalamannya menghidap barah testis yang dialami setahun lalu.

Katanya, dia juga pernah bertangguh selama sebulan daripada bertemu doktor selepas menyedari kewujudan ketulan di bahagian testis kerana berharap penyakit ini boleh sembuh dengan memakan ubat.

"Mengejutkan apabila sel barah sudah merebak ke nodus limfa. Ia diketahui pada sesi kedua pertemuan dengan pakar urologi.

DR Nik Muhd Aslan
DR Nik Muhd Aslan

"Saya selamat menjalani pembedahan dan doktor terpaksa membuang satu daripada testis bagi mengelak sel barah daripada merebak," katanya.

Menurutnya, kesedihan tidak berakhir kerana bimbang tahap kesuburan berkemungkinan terjejas disebabkan ketiadaan satu testis.

"Saya risaukan peluang untuk mendapatkan cahaya mata pada masa hadapan.

"Lebih-lebih lagi saya turut menjalani beberapa sesi rawatan kemoterapi dan diketahui kesan rawatan ini boleh menjejaskan kesuburan.

"Namun, pakar perubatan berjaya meyakinkan saya yang berpeluang mendapatkan cahaya mata secara semula jadi apabila rawatan kemoterapi selesai," katanya.

Pakar Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Sunway, Dr Nik Muhd Aslan Abdullah berkata, barah boleh menimpa sesiapa sahaja, pada bila-bila masa tanpa mengira usia.

Beliau berkata, walaupun kebanyakan kes barah membabitkan golongan lebih berusia, ada sebahagian jenis barah boleh menyerang golongan muda.

"Namun, punca barah yang berlaku dalam kalangan generasi muda masih tidak diketahui.

"Terdapat banyak faktor boleh menyumbang kepada masalah ini. Antaranya ialah keturunan apabila barah berlaku disebabkan gen tidak normal atau mutasi gen diturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya," katanya.

Dr Nik Muhd Aslan berkata, walaupun digelar barah keturunan, apa diwarisi adalah gen tidak normal yang boleh menyebabkan barah dan bukan sel penyakit itu sendiri.

"Contoh, mereka yang berisiko tinggi menghidap barah payudara, ovari dan prostat mempunyai mutasi BRCA1 atau BRCA2. Ia boleh diwarisi daripada ibu atau bapa.

"Bagaimanapun, tidak semua barah berpunca daripada masalah genetik. Terdapat banyak bukti menunjukkan faktor gaya hidup mempengaruhi risiko individu menghidap barah.

"Antara faktor utama menyumbang kepada masalah ini termasuk pengambilan rokok atau tembakau, gaya hidup tidak aktif, obesiti, amalan diet tidak sihat dan pengambilan alkohol berlebihan," katanya.

Di Malaysia, barah adalah penyebab kematian kedua tertinggi yang menyumbang 16,000 kematian pada 2018.

Jumlah kes barah baharu di Malaysia juga meningkat 11.3 peratus dalam tempoh lima tahun.

Berdasarkan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia, pada 2012 hingga 2016, ia mencatatkan 115,238 kes iaitu 44.7 peratus dalam kalangan lelaki dan 55.3 peratus dalam kalangan wanita.

Ia berbanding 103,507 kes daripada 2007 hingga 2011.

Jelas beliau, diagnosis barah lebih awal boleh meningkatkan peluang kejayaan rawatan.

"Sebanyak 37,339 kes (63.7 peratus) daripada 58,635 kes adalah barah tahap akhir iaitu tiga dan empat.

"Sebanyak 30 dan 50 peratus barah dapat dicegah dengan mengelakkan daripada melakukan perkara berdasarkan faktor risiko terbabit," katanya.

Dr Nik Muhd Aslan berkata, beban barah dapat dikurangkan dengan pengesanan awal melalui saringan kesihatan secara berkala, amalan gaya hidup sihat daripada segi diet, aktiviti fizikal dan pengurusan pesakit penghidap barah.

"Ujian saringan awal penting kerana ada pesakit yang mungkin mengamalkan gaya hidup sihat dan tidak mempunyai faktor risiko, namun apabila didiagnosis didapati menghidap barah.

"Kebanyakan penyakit barah mempunyai peluang penyembuhan yang tinggi jika didiagnosis lebih awal dan dirawat dengan cekap," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 6:22 AM