Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: "Saya kerap berdepan pesakit barah yang meluahkan perasaan apabila mereka ditinggalkan suami, isteri selain dibuang kerja sebaik disahkan menghidap penyakit terbabit," kata Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal.

Selain itu, kata Zuraini, ada yang mengadu tiada sumber kewangan untuk membayar sewa rumah dan tiada kenderaan untuk ke hospital menyebabkan ada yang mengalami kemurungan.

Disebabkan itu, kata Zuraini, CSM ditubuhkan pada 2013 dan ia antaranya bertujuan membantu menyelesaikan isu dihadapi pesakit barah.

Kata Zuraini, ketika ditubuhkan, CSM hanya memiliki 30 ahli termasuk sukarelawan.

"Niat saya menubuhkan CSM untuk membantu pesakit barah yang memerlukan sokongan moral serta bantuan walaupun penyakit sebahagian daripada mereka sudah berada di tahap empat.

"Kini, ahli CSM sudah mencapai 30,000 dan kami bukan saja turun padang untuk menziarah pesakit malah turut menyampaikan sumbangan wang, barangan keperluan harian selain sokongan moral kepada mereka untuk meneruskan rawatan," katanya ditemui di sini.

Menurut Zuraini, barah kini bukan saja menyerang wanita, lelaki, warga emas, kanak-kanak selain bayi.

Katanya, sekiranya mendapat rawatan segera di hospital pada peringkat awal, peluang pesakit untuk meneruskan kehidupan adalah cerah.

"Saya menjadikan diri saya sebagai contoh kepada pesakit barah lain kerana saya sendiri adalah bekas pesakit barah pangkal rahim.

"Saya turut berdepan pelbagai cabaran ketika mendapatkan rawatan sebelum ini.

ZURAINI (empat dari kiri) bersama sukarelawan CSM ketika menziarahi pesakit kanser, Putri Nur Damia Danisha Abdullah, di Alor Setar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ZURAINI (empat dari kiri) bersama sukarelawan CSM ketika menziarahi pesakit kanser, Putri Nur Damia Danisha Abdullah, di Alor Setar. FOTO Zuliaty Zulkiffli

"Ketika menziarah rumah pesakit, saya terkejut apabila ada sebilangan pesakit sanggup memilih perubatan tradisional serta makanan tambahan tanpa nasihat doktor, kononnya ia penawar barah.

"Ia menyebabkan pesakit terpaksa berhabis wang malah barah dihidap juga merebak menyebabkan keadaan mereka bertambah teruk," katanya.

Sempena Hari Wanita Sedunia semalam, Zuraini berdoa serta berharap supaya dia dapat terus memperjuangkan nasib pesakit barah.

Ini kerana, katanya, pesakit barah memerlukan sokongan moral supaya mereka tidak merasakan diri mereka sendirian.

"Apabila kami ziarah di rumah pesakit, mereka meluahkan segala yang terbuku di hati malah ada yang menangis kerana tidak mampu dan amat memerlukan sumber kewangan untuk membayar bil hospital, membeli susu formula khas, lampin pakai buang, beg stoma, kerusi roda dan sebagainya.

"Kami akan sampaikan wang untuk kegunaan mereka dan selebihnya, kami mengharapkan ada penyumbang akan membantu," katanya.

Zuraini berkata, setiap tahun CSM menganjurkan program wacana 'Aku ingin Hidup' di seluruh negara khas untuk pesakit barah supaya mereka dapat berkongsi pengalaman ketika dalam rawatan atau yang sudah bebas barah.

Katanya, CSM akan mendapatkan data pesakit barah di serata kampung atau bandar melalui sukarelawan atau penduduk berhampiran untuk memberi bimbingan dan dorongan kepada pesakit berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 7:01 AM