GANDINGAN artis dengan atlet dalam persembahan di malam kemuncak Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro (HM) yang berlangsung di Dewan Canselor, Tun Abdul Razak (Dectar), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
GANDINGAN artis dengan atlet dalam persembahan di malam kemuncak Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro (HM) yang berlangsung di Dewan Canselor, Tun Abdul Razak (Dectar), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
Ramlah Zainal


GANDINGAN artis dengan atlet dalam persembahan di malam kemuncak Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro (HM) yang berlangsung di Dewan Canselor, Tun Abdul Razak (Dectar), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, malam esok pastinya menjadi tumpuan ramai.

Mereka ialah kumpulan Dolla yang bakal membuat persembahan bersama atlet bola jaring negara, Nurfariha Abdul Razak.

Akim Ahmad dan Amir Masdi pula akan bergandingan dengan pesilat negara, Al Jufferi Jamari, manakala pelawak, Atu Zero, Ropie, Noorkhiriah dan Salman akan bersama bekas jaguh badminton negara, Hafiz Hashim.

Turut membuat persembahan malam esok ialah penyanyi berkaliber, Aina Abdul, Bunga dan Hariz Fayahet.

Dolla yang dianggotai Syasya, Sabronzo, Angel dan Tabby ketika dihubungi berkata, mereka tidak mahu melepaskan peluang keemasan untuk menjayakan persembahan sempena malam kemuncak AISHM.

Menurut Tabby yang mewakili kumpulan itu, konsep persembahan mereka ada kejutan dan kelainan buat peminat.

"Kami akan menyampaikan satu lagu dari single tahun lalu berjudul Bad," katanya.

Akim pula mengakui dirinya sangat bertuah kerana diundang membuat persembahan pada acara yang memberi pengiktirafan pada atlet negara itu.

"Saya akan berduet dengan Amir Masdi menerusi lagu Mentera Semerah Padi yang dipopularkan Datuk M Nasir nanti. Ia kali pertama kami berduet dan ia juga kerjasama yang sangat unik sebagai kelainan pada persembahan termasuk berganding dengan pesilat negara, Al Jufferi.

"Semoga lagu ini memberi semangat bukan saja pada atlet sukan sekali gus penonton untuk kita lebih fokus dan sama-sama memajukan arena sukan negara pada masa akan datang," katanya.

AL Jufferi Jamari
AL Jufferi Jamari

Bagi Amir, peluang membuat persembahan di hadapan atlet negara pada malam kemuncak AIS adalah satu penghormatan buatnya.

"Saya menghargai jasa atlet negara dalam mengharumkan nama negara ke mata dunia. Saya selesa bekerja dengan Akim. Dia banyak memberi tunjuk ajar dari aspek persembahan," katanya.

Dalam pada itu, Aina ketika dihubungi berkata, dia sangat gembira kerana diundang membuat persembahan dalam acara itu.

"Saya akan menyampaikan lagu Gemilang dengan susunan muzik yang baharu dan sesuai dengan acara kesukanan ini.

"Dari segi konsep persembahan pula, saya akan memaparkan 'look' yang 'strong' sesuai dengan kekuatan barisan atlet kita," katanya.

Penyanyi rap dan finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36, Bunga Isme atau nama sebenar Noor Ayu Fatini berkata, dia teruja kerana diberi penghormatan untuk menyampaikan lagu tema AISHM berjudul Kita Juara.

HAFIZ Hashim
HAFIZ Hashim

"Saya akan berduet dengan Hariz Fayahed untuk menyampaikan lagu yang menyuntik semangat kesukanan itu. Ia juga kali pertama saya berduet dengan Hariz. Kami juga berbincang dari segi baju dan penata gaya untuk persembahan nanti," katanya.

Selain itu, ia akan diacarakan selebriti popular iaitu Fahrin Ahmad dan Sarimah Ibrahim.

Buat julung kali, AISHM anjuran akhbar Harian Metro diperkenalkan bagi memberi fokus pada industri sukan tanah air, sekali gus mengiktiraf sumbangan atlet yang mengharumkan nama negara.

Sebanyak lapan kategori utama dipertandingkan iaitu Ikon Sukan Lelaki Breakthru; Ikon Sukan Wanita Breakthru; Ikon Sukan Paralimpik; Ikon Sukan Jurulatih; Ikon Sukan Persatuan / Kelab; Ikon Sukan Kepimpinan; Ikon Sukan Harapan; dan Ikon Sukan Pempengaruh.

Malam kemuncak AIS disiarkan secara langsung di TV9 mulai jam 8.30 malam esok.

Selain TV9, segmen karpet merah dan malam kemuncak AISHM boleh distrim langsung secara HD di www.tonton.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 6:14 AM