ARWAH Muhammad Nasrun. FOTO tular Facebook
ARWAH Muhammad Nasrun. FOTO tular Facebook
Samadi Ahmad


Putrajaya: "Pada malam Aidilfitri lalu, saya lihat arwah (Muhammad Nasrun Aidol Akbar Munir, 22) sangat gembira bermain mercun di halaman rumah.

"Itulah kali terakhir saya melihat kelibat arwah sebelum mendapat tahu dia meninggal dunia akibat kemalangan hari ini," kata Nadzirah Daut, 33.

Nadzirah yang menetap di Taman Desa Bukit Bujang, Kuala Kubu, Selangor, berjiran dengan keluarga Muhammad Nasrun, mangsa kemalangan maut di Kilometer 246, Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Ipoh, tengah malam tadi.

Menurut Nadzirah, dia tidak menyangka kegembiraan Muhammad Nasrun pada Aidilfitri itu memberi petanda arwah akan pergi selama-lamanya.

"Arwah seorang yang baik budi serta menghormati orang lebih tua daripadanya, selain cemerlang dalam pendidikan.

"Pemergian arwah sangat mengejutkan penduduk di sini kerana kami masih lagi dalam suasana Aidilfitri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dari segi keperibadian, Nadzirah berkata, arwah bukan saja seorang yang baik, malah disenangi penduduk di situ.

"Arwah seorang huffaz al-Quran hasil didikan bapanya, Aidol Munir Akbar Abd Aziz yang juga seorang ustaz, manakala ibunya Maizatul Akmam pula ustazah di Sekolah Menengah Syed Mashor, Batang Kali.

"Arwah yang juga anak sulung daripada dua beradik itu turut menjadi kebanggaan penduduk di sini selepas berjaya menyambung pelajaran di Universiti Sultan Azlan Shah (Usas)," katanya.

Dia berkata, penduduk berharap proses pengecaman serta bedah siasat terhadap arwah dapat disegerakan agar jenazahnya dapat dibawa pulang dan dikebumikan di sini.

"Ketika ini penduduk sudah bersiap sedia bagi menunggu kepulangan jenazah dan berharap prosesnya akan berjalan dengan lancar," katanya.

Tengah malam tadi, selain Muhammad Nasrun, empat lagi pelajar Usas yang maut dalam kemalangan itu ialah Iqbal Hasnun Halimi, 23; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 6:14 PM