SEBAHAGIAN aksi Malaysia bertemu Laos sebelum ini. FOTO FAM
SEBAHAGIAN aksi Malaysia bertemu Laos sebelum ini. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Singapura: Dakwaan kononnya kemenangan besar Malaysia ke atas Laos dalam saingan Piala AFF diatur oleh bookie adalah tidak berasas.

Skuad Harimau Malaya menang 4-0 pada Khamis lalu bagi mengatasi Laos, yang sebelum itu menunjukkan aksi lebih bertenaga ketika tewas 0-2 kepada Vietnam dalam Kumpulan B itu.

Menurut jurulatih Laos, V Selvaraj, beliau tidak mahu mengulas lanjut tentang dakwaan itu yang sedang hangat diperkatakan di media sosial.

Katanya, anak buahnya sudah mempamerkan aksi terbaik namun keputusan positif yang diharapkan masih belum diraih pasukan.

"Dalam kejohanan ini kami cuba lakukan yang terbaik, dan saya bersama pemain membuat persediaan untuk semua aksi di kejohanan ini.

"Saya tak pasti (dakwaan wujud unsur mengatur perlawanan) dan tak tahu apa yang berlaku di laman sosial...dan saya juga tak mahu bercakap mengenai apa yang diperkatakan di media sosial ketika ini, maaf," katanya.

Terdahulu, kecoh dilaman sosial Twitter apabila wujud dakwaan perlawanan antara Malaysia dan Laos dipengaruhi unsur atur perlawanan.

Malah, pemilik akaun yang bernama 'Oriental Gambler' itu turut meminta siasatan dilakukan oleh pihak penganjur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 5:57 PM