NOR Azilah menjalankan tugas sebagai jurumandi jenazah bayi UKVJ cawangan Klang.
NOR Azilah menjalankan tugas sebagai jurumandi jenazah bayi UKVJ cawangan Klang.
Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: "Saya sudah menguruskan lebih 500 jenazah bayi sepanjang 32 tahun menjadi jurumandi jenazah.

"Setiap kali menguruskan jenazah bayi pasti akan tewas dengan emosi dan perasaan sendiri," kata Nor Azilah Danuri, 51.

Nor Azilah adalah jurumandi jenazah bayi Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) cawangan Klang, Selangor.

Menurutnya, menitiskan air mata ketika mengurus jenazah bayi perkara biasa yang berlaku kepadanya, terutamanya ketika memandikan dan kafan jenazah.

"Naluri sebagai seorang ibu mudah tersentuh melihat anak syurga ini meninggal dunia pada usia yang kecil dan belum puas merasai kasih sayang ibu bapa.

"Lebih merentap jiwa apabila melihat ibu kepada bayi malang itu tidak dapat menerima hakikat anak dilahirkan meninggal dunia," katanya.

Katanya, dua pengalaman tidak boleh dilupakannya sepanjang menjadi jurumandi jenazah bayi.

"Pertama ialah menguruskan jenazah bayi berusia sembilan bulan pada 2015.

"Bayi ini meninggal dunia kerana ibunya terhempap secara tidak sengaja disebabkan tertidur ketika menyusu.

"Apabila si ibu terjaga mendapati anaknya sudah meninggal dunia. Wanita ini terlalu sedih dan tidak dapat menerima kenyataan, hinggakan enggan menyerah anaknya untuk pengurusan jenazah.

"Si ibu sentiasa memeluk anaknya dan mengatakan bayinya tidur, bukan meninggal dunia," katanya.

Nor Azilah berkata, proses menenangkan si ibu mengambil masa 20 minit sebelum ibu terbabit menyerahkan bayi untuk pengurusan jenazah.

Katanya lagi, pengalaman kedua menguruskan jenazah bayi berusia satu tahun setengah yang meninggal dunia akibat tersedak susu pada 2017.

"Ketika kejadian, bayi itu tinggal bersama pembantu rumah manakala ibu bapanya keluar bekerja.

"Hati saya tersentuh melihat ketabahan ibu bapa bayi yang reda dan menganggap kejadian menimpanya sebagai takdir. Bahkan tidak menyalahkan pembantu rumahnya," katanya.

Jelasnya, tugas mengurus jenazah anak syurga ini istimewa. Tidak semua orang berpeluang menguruskannya dan dia perlu kuat sepanjang melaksanakan tugas berkenaan.

"Selain itu, jurumandi jenazah bayi memainkan peranan sebagai 'ahli psikologi' untuk menenangkan emosi ibu bapa.

"Saya diuji mengurus jenazah cucu sendiri (bayi pramatang) tiga tahun lalu. Hanya Allah SWT saja tahu kesedihan ini.

"Saya berdoa kepada Allah SWT agar hilangkan perasaan sedih, tidak pengsan dan boleh kawal diri sepanjang menguruskan jenazah cucu," katanya berhasrat menjadi jurumandi jenazah hingga hujung usia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 12:00 PM