NOR Jannah Hini Irwani Nazmi dalam persalinan sut PPE.
NOR Jannah Hini Irwani Nazmi dalam persalinan sut PPE.
Redzuan Muharam


Kajang: Status sebagai isteri dan ibu kepada dua anak bukan halangan untuk Nor Jannah Hini Irwani Nazmi menyumbang bakti sebagai sukarelawan pengurusan jenazah Covid-19.

Nor Jannah Hini Irwani, 28 yang menetap di Sungai Kantan, di sini berkata, dia mula aktif dalam tugasan fardu kifayah itu sejak akhir Jun lalu, selepas berhenti kerja sebagai pembantu jualan di sebuah farmasi.

Meskipun ada perasaan takut dan gementar pada mulanya namun minat mengatasi segala-galanya.

Malah Nor Jannah Hini Irwani bersyukur kerana suaminya Mohamad Rashidi Maajis, 29 yang juga penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, di sini turut memberi keizinan untuknya menjadi sukarelawan pengurusan jenazah.

"Saya jadi sukarelawan ini kerana minat, dulu pernah ada cita-cita untuk kerja dalam bidang pengurusan jenazah cuma hasrat tidak kesampaian.

"Sebenarnya, saya ada asas dan pengalaman memandikan jenazah tetapi bukan mangsa Covid-19, apabila dipelawa Ustaz Amir Muttakin Abd Ghani (36) bagi menjadi sukarelawan menguruskan mereka yang meninggal dunia akibat wabak itu, saya amat teruja.

"Ikutkan, suami saya tidak izinkan kerana bimbang saya lemah semangat dan bahaya tugas yang terdedah dengan risiko dijangkiti Covid-19.

"Namun, akhirnya dia memberi persetujuan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nor Jannah Hini Irwani berkata, dia tidak terbabit dalam tugas pengebumian di tanah perkuburan sebaliknya hanya ditugaskan melakukan tayamum atau membantu mengkafankan jenazah wanita di Hospital Kajang, di sini.

Katanya, cabaran utamanya adalah memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) dalam tempoh lama namun sudah dapat membiasakan diri dengannya.

"Pakai PPE memang panas kerana kerana kipas tidak dipasang di bilik forensik, saya pula ada masalah asma jadi mahu atau tidak perlu bertahan dan paling lama saya perlu bertahan adalah empat jam.

"Pada peringkat awal juga saya sukar melakukan tayammum kerana takut hingga tangan menggigil.

"Bagaimanapun, rakan sepasukan berjaya menenangkan saya dan kini, perasaan takut bertukar menjadi kasihan terutama kepada keluarga si mati kerana tidak dapat bersama," katanya.

Memikirkan perasaan waris Nor Jannah Hini Irwani berusaha sebaik mungkin untuk mengurus dan menyantuni jenazah dengan tertib sehingga dikafankan.

Meskipun sudah lali, Nor Jannah berkata, tugas itu tidak mudah kerana dia ada kalanya tersentuh melihat kesedihan keluarga mangsa Covid-19.

"Satu pengalaman sedih tidak dapat saya lupakan adalah ketika berurusan dengan seorang lelaki yang sangat teringin untuk tayammum jenazah isterinya.

"Kesungguhannya jelas apabila sanggup menonton video di Youtube untuk belajar kaedah tayammum tetapi tidak berjaya dan minta bantuan saya lakukannya.

"Sedih rasanya kerana saya tahu pak cik itu mahu uruskan isterinya buat kali terakhir tetapi lega apabila dia akhirnya dapat turut serta dalam solat jenazah," katanya.

Nor Jannah Hini Irwani berkata, pembabitan sebagai sukarelawan bukan hanya memberinya kesedaran mengenai bahaya Covid-19 tetapi juga kesempatan untuk sentiasa mengingati kematian.

Justeru, Nor Jannah Hini Irwani akan terus menyumbang bakti selagi diberi peluang dan kepercayaan.

"Setakat ini, saya dapat luangkan masa dengan aktiviti pengurusan jenazah kerana tidak terikat dengan komitmen kerja.

"Jika dipanggil pihak hospital atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk uruskan jenazah, saya akan minta bantuan ibu mentua (Sallamah Jamil, 63) menjaga anak yang berumur enam dan tiga tahun.

"Syukur kerana segala-galanya dipermudahkan dan pembabitan sebagai sukarelawan membuatkan saya lebih berhati-hati dengan patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan selain terus mandi sebaik pulang ke rumah kerana enggan jadi pembawa wabak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 4:23 PM