GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) diminta mewujudkan kumpulan jurumandi dan pembantu jurumandi jenazah di setiap kampung.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, ketiadaan jurumandi dan pembantu jurumandi jenazah amat menggusarkan masyarakat terutama untuk menguruskan jenazah.

Beliau berkata, ada antara penduduk terpaksa memanggil jurumandi dari luar menyebabkan berlakunya peningkatan kos upah menguruskan jenazah.

"Kita cadangkan JHEAT menganjurkan lebih banyak kursus pengurusan jenazah kerana ketiadaan jurumandi dan pembantu jurumandi amat memalukan.

"JHEAT diminta mewujudkan kumpulan pengurusan jenazah di setiap kampung untuk kemudahan masyarakat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata demikian ketika mengulas mengenai beberapa kampung terutama di Hulu Terengganu masih belum mempunyai kumpulan pengurusan jenazah.

Rosol berkata, ketiadaan kumpulan pengurusan jenazah menyebabkan berlakunya kelewatan untuk urusan pengebumian.

Katanya, ada antara penduduk terpaksa menggunakan khidmat pengurusan jenazah dari mukim dan kampung lain menyebabkan berlakunya peningkatan kos.

Dalam perkembangan lain, Rosol bercadang menggunakan peruntukan Parlimen untuk menaikkan kadar insentif kepada semua jurumandi dan pembantu jurumandi di daerah Hulu Terengganu.

Beliau berkata, kadar insentif disediakan JHEAT kepada jurumandi adalah RM100, manakala RM100 kepada dua pembantu jurumandi pada setiap kematian.

Menurutnya, beliau akan berbincang dengan JHEAT untuk menambah kadar insentif khas iaitu RM100 kepada jurumandi dan RM100 untuk pembantu jurumandi.

"Jika dipersetujui, setiap jurumandi jenazah akan menerima RM200 iaitu RM100 dari JHEAT manakala RM100 daripada pejabat parlimen Hulu Terengganu.

"Insentif tambahan kepada dua pembantu jurumandi akan diberikan iaitu RM50 daripada JHEAT dan RM50 menggunakan peruntukan parlimen.

"Saya dimaklumkan, setakat ini jumlah keseluruhan jurumandi dan pembantu jurumandi jenazah di Hulu Terengganu hanya 120 orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 2:45 PM