Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kerajaan menubuhkan tiga jawatankuasa khas bagi menjalankan siasatan dan kajian terhadap kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh serta dakwaan terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet, semalam.

Beliau berkata, ketiga-tiga jawatankuasa yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri itu akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat kabinet untuk tindakan susulan.

"Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

"Jawatankuasa ini akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

"Penubuhan jawatankuasa khas ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham Adib, 24, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan dan sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, Jemaah Menteri juga bersetuju supaya pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.

Beliau berkata, untuk tujuan itu satu pasukan petugas khas akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

"Pada masa yang sama, Jemaah Menteri juga sudah membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan undang-undang di bawah "Tort of Misfeasance" ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan penafsiran kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh," katanya.

Perdana Menteri berkata, Kabinet turut bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, di dalam bukunya "My Story: Justice in the Wilderness."

Menurutnya, pasukan petugas itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat.

"Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) akan bertindak sebagai urusetia.

"Pasukan petugas khas siasatan yang dicadangkan ini antara lain bertujuan untuk menyiasat dakwaan Tommy Thomas mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 4:03 PM