MOHAMMAD Hamdan. FOTO Arkib NSTP
MOHAMMAD Hamdan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Penubuhan Jawatankuasa Khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian pegawai Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tanda keprihatinan kerajaan kepada kebajikan penjawat awam.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, JBPM merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kesungguhan dan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung langkah menubuhkan jawatankuasa itu.

Menurutnya, penubuhan Jawatankuasa Khas ini juga adalah tanda keprihatinan kerajaan kepada kebajikan penjawat awam.

"Malah ia suatu langkah yang sejajar dengan hasrat dan cadangan yang diutarakan oleh JBPM supaya segala kekusutan dan pertikaian yang berbangkit dalam kes Allahyarham Muhammad Adib ini dapat dirungkai dengan penuh iltizam dan bertanggungjawab.

"Saya mewakili seluruh warga JBPM berdoa supaya kes Allahyarham Muhammad Adib ini mendapat keadilan yang sewajarnya.

"Sekali gus menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat awam bahawa keselamatan nyawa penjawat awam khususnya petugas barisan hadapan senantiasa menjadi keutamaan dan tanggungjawab kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, kerajaan menubuhkan tiga jawatankuasa khas bagi menjalankan siasatan dan kajian terhadap kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh serta dakwaan terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet, semalam.

Beliau dipetik berkata, ketiga-tiga jawatankuasa yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri itu akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat kabinet untuk tindakan susulan.

Berita berkaitan:

  • Ada cahaya untuk bela Adib - Bapa
  • Jawatankuasa khas siasat kes Muhammad Adib, Pedra Branca, Tommy Thomas
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 8:02 PM