PULAU Batu Puteh.
PULAU Batu Puteh.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan Johor memberi jaminan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu Kerajaan Persekutuan mendapatkan pelbagai dokumen dan pandangan yang diperlukan, bagi semakan semula undang-undang berkenaan isu Batu Puteh atau Pedra Branca.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata kerajaan negeri juga bersetuju dan akan memberikan sokongan penuh berkenaan tindakan undang-undang di bawah tort of misfeasance ke atas

mana-mana pihak yang didapati melakukan kecuaian dan kekhilafan, kerana tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri mahu supaya tindakan itu disegerakan supaya mereka yang bertanggungjawab dibawa segera ke muka pengadilan.

"Kerajaan Johor amat mengalu-alukan dan menyambut baik keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri yang menubuhkan tiga jawatankuasa khas, termasuk bagi menyemak semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca atau Batu Puteh.

"Isu tuntutan Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura sememangnya amat dekat dengan kerajaan dan rakyat Johor, sama ada daripada segi sejarah mahupun kedudukannya kerana hampir dengan negeri ini.

"Kerajaan Johor memberi jaminan akan memberikan kerjasama dalam membantu Kerajaan Persekutuan mendapatkan pelbagai dokumen dan pandangan yang diperlukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kabinet semalam dilaporkan mencapai persetujuan supaya pasukan petugas khas diwujudkan bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Batu Puteh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata, pasukan petugas khas itu akan membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Katanya, usaha itu bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Batu Puteh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 10:05 AM