BABAK dalam siri Squid Game. FOTO Netflix
BABAK dalam siri Squid Game. FOTO Netflix
Agensi

Seoul: Seorang lelaki menerima ribuan panggilan daripada peminat drama bersiri Netflix, Squid Game selepas nombor telefonnya didedahkan dalam satu episod rancangan itu.

Ia tertulis pada kad nama yang diserahkan kepada watak Seong Gi-Hun yang dilakonkan Lee Jung-Jae di stesen kereta api bawah tanah oleh seorang lelaki misteri.

The Independent melaporkan pemilik sebenar nombor telefon terbabit berkata, sejak itu dia menerima panggilan dan pesanan teks tanpa henti.

"Ia sampai pada tahap tidak kira siang dan malam kerana mereka ingin tahu. Ia menghabiskan bateri telefon saya.

"Pada mulanya, saya tidak tahu mengapa, kemudian rakan memberitahu nombor telefon saya dipaparkan dalam Squid Game," katanya yang berasal dari wilayah Gyeonggi.

Lelaki yang tidak disebutkan namanya itu berkata, sukar baginya untuk menukar nombor kerana dia sudah menggunakannya untuk perniagaan selama 10 tahun.

Katanya, isterinya juga menerima panggilan kerana mempunyai nombor sama kecuali angka terakhir.

Menurut majalah Korea Times, Netflix memaklumkan mereka sedang berunding dengan pemilik nombor telefon untuk menyelesaikan masalah itu.

Squid Game yang disiarkan di Netflix pada 17 September menjadi antara rancangan paling popular di platform berkenaan sejak kebelakangan ini.

Drama thriller dalam Bahasa Korea itu meneroka khayalan di mana sebuah organisasi misteri merekrut orang yang berhutang untuk bersaing dalam satu permainan untuk memenangi sejumlah wang.

Ia berdasarkan permainan kanak-kanak klasik, ada antaranya khusus untuk penduduk di Korea, sementara yang lain seperti 'Lampu Merah, Lampu Hijau', terkenal di seluruh dunia.

Namun, tidak seperti permainan kanak-kanak biasa, permainan Squid mempunyai risiko yang besar, sekiranya pemainnya kalah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 6:30 AM