ANUAR masih tinggi semangat juang mempertahankan negara daripada ancaman musuh. FOTO Hassan Omar
ANUAR masih tinggi semangat juang mempertahankan negara daripada ancaman musuh. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Alor Gajah: Dihujani peluru dalam serangan hendap 40 pengganas komunis di lereng bukit hampir mencabut nyawa bekas perajurit, Anuar Che Mat, 70.

Bagaimanapun, beliau yang berusia 28 tahun ketika kejadian pada 1976 terselamat dan sempat menyelamatkan rakan tercedera di tangan kanan akibat terkena tembakan.

Mengimbas kembali peristiwa itu, Anuar atau lebih dikenali Abang Zainal yang menetap di Kampung Londang, Masjid Tanah di sini, berkata, ketika kejadian dia bersama dua rakan diarahkan mengambil air di sungai di tepi lereng bukit di Lundu, Sarawak.

“Kami seramai 45 orang dari Kompeni B, Batalion 10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diarahkan membuat kepungan di kawasan berbukit manakala gerakan mencari musuh dilakukan anggota Batalion 5 RAMD.

“Lebih kurang jam 5 petang pasukan menghentikan gerakan mencari dan kami tidak dapat meneruskan kepungan sebelum diarahkan mencari air,”katanya di kediamannya, semalam.

Ketika menghampiri sungai, katanya, tiba-tiba pengganas komunis yang bersembunyi di lereng bukit melepaskan tembakan menyebabkan rakan Anuar, Koperal Ibrahim cedera di tangan.

“Kami tidak dapat membalas tembakan dan hanya berserah kepada Allah dengan melarikan diri ke pangkalan.

“Ketika melarikan diri dalam tempoh 10 minit, kami berasakan hari itu adalah hari terakhir kami, tetapi atas kehendak-Nya, kami terlepas daripada maut,” katanya.

Anuar berkata, setengah jam selepas itu mereka terdengar pengganas komunis berbalas tembakan dengan pasukan lain yang turut menjalankan tugas membuat kepungan.

“Pengganas komunis itu dikenal pasti sebagai Pasukan Gerila Rakyat Kalimantan Utara (PGRKU) yang mencerobohi Sarawak kerana terpengaruh dengan gerakan Ganyang Malaysia yang dilancarkan Presiden Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, pasukan diketuai Kapten Said itu berjaya membunuh seorang pengganas komunis, tetapi mayatnya dibawa lari rakan mereka ke dalam hutan.

Walaupun menamatkan perkhidmatan pada 2 Ogos 1990, semangat juang Anuar mempertahankan negara daripada ancaman musuh termasuk komunis tetap membara.

“Darah saya menyirap apabila ada pihak tertentu cuba mengagungkan pengganas komunis kononnya pejuang kemerdekaan negara.

“Walaupun berusia 70 tahun, saya sanggup berperang dengan pengganas komunis jika mereka masih ada sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 9:42 AM