MOHAMED Asari  menunjukkan pingat diterima selama berada dalam perkhidmatan tentera di Kampung Lubok Bongor Bharu. FOTO Mohamed Sahidi Yusoff
MOHAMED Asari menunjukkan pingat diterima selama berada dalam perkhidmatan tentera di Kampung Lubok Bongor Bharu. FOTO Mohamed Sahidi Yusoff
Mohamed Sahidi Yusof

Jeli: Menyaksikan rakan seperjuangan terkorban di depan mata sendiri kerana ditembak pengganas komunis ketika zaman darurat menjadi detik paling sukar dilupakan bekas anggota tentera, Mohamed Asari Che Derahman.

Mengimbas detik getir itu, bekas tentera berusia 77 tahun itu berkata, kejadian berlaku apabila pasukan yang dianggotainya ditugaskan menjaga keselamatan kawasan perkampungan di Kampung Lubok Bongor, di sini.

Menurutnya, kejadian itu berlaku pada sekitar 1965 iaitu tiga bulan selepas pasukannya mengambil alih tugas menjaga kawasan berkenaan.

“Ketika kami berada di kawasan perkampungan itu, secara tiba-tiba pasukan saya diserang hendap musuh.

“Kami sebagai anggota pasukan keselamatan terpaksa bertahan dalam kubu bawah tanah bagi mengelak tembakan musuh yang bertubi-tubi itu.

“Ketika itu saya melihat seorang rakan rebah terkena tembakan tetapi kami terus berjuang hingga memaksa musuh berundur dan pertempuran terhenti,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Lubok Bongor Bharu di sini, semalam.

Mohamed Asari yang memulakan perkhidmatan dengan menyertai pasukan Home Guard pada 1954 dan diserap menjadi askar wataniah sebagai anggota kerahan sepenuh masa kira-kira lima tahun kemudian berkata, peristiwa itu masih segar dalam ingatannya sehingga dia bersara pada 1987.

“Kehidupan penduduk pada zaman darurat dari 1948 hingga 1969 amat perit kerana kawasan kampung dipagar kawat berduri dan dikawal pasukan keselamatan bagi mengelak diri mereka daripada dipengaruhi pengganas komunis.

“Pada masa itu kampung Lubok Bongor, Kampung Lawar dan Kampung Kalai sering menjadi sasaran pengganas komunis menjalankan kegiatan memeras ugut penduduk bagi mendapatkan bekalan makanan, ubat serta maklumat,” katanya.

Menurutnya, generasi kini bertuah kerana tidak sempat mengharungi kehidupan zaman darurat yang penuh dengan onak duri.

“Pengorbanan kami yang mempertaruhkan nyawa bagi membebaskan negara ini daripada ancaman musuh tidak harus dipandang remeh.

“Semangat mempertahankan negara dan hargai kemerdekaan hingga negara berjaya bebas daripada belenggu penjajah selama 61 tahun lalu perlu diterapkan ke dalam jiwa generasi muda hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 9:38 AM