HANYA 192 kes (0.9 peratus) di kategori 5 dicatatkan kelmarin.
HANYA 192 kes (0.9 peratus) di kategori 5 dicatatkan kelmarin.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Di sebalik kes harian baharu yang mencecah sehingga lebih 21 ribu kelmarin, hanya 440 kes atau 2.1 peratus melibatkan pesakit Covid-19 kategori 5, 4 dan 3.

Selebihnya, sebanyak 21,228 atau 97.9 peratus tergolong dalam kategori 2 (gejala ringan) dan 1 (tiada gejala).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meletakkan pesakit Covid-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5. Kategori 4 adalah untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksigen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru.

Memperincikan dengan lebih lanjut, Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam paparan Facebook peribadi beliau kelmarin berkata, daripada 21,668 kes, sebanyak 192 kes (0.9 peratus) di kategori 5, sebanyak 84 kes (0.4 peratus) di kategori 4, sebanyak 164 kes (0.8 peratus) di kategori 3, sebanyak 11,059 kes (51 peratus) di kategori 2 dan sebanyak 10,169 kes (46.9 peratus) di kategori 1.

Dr Noor Hisham berkata, data yang dikongsi itu berdasarkan keadaan kritikal pesakit semasa didiagnosa Covid-19.

Menurut beliau, ada pesakit yang kekal di kategori sama sepanjang tempoh jangkitan dan ada juga yang berubah status sama ada bertambah baik, atau merosot ke kategori lebih tinggi.

Sehingga jam 12 tengah hari Khamis 12 Ogos 2021, Malaysia mencatat sebanyak 21,668 kes harian baharu Covid-19 iaitu yang tertinggi sejak tiga kes pertama dikesan di negara ini pada 25 Januari 2020.

Angka tertinggi sebelum ini direkod pada pada 5 Ogos (20,596 kes), 6 Ogos (20,889 kes) dan 11 Ogos (20,780 kes).

Malaysia kini menanggung sebanyak 237,021 kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan, sementara kes kumulatif meningkat kepada 1,342,215 kes.

Sebanyak 318 lagi kes kematian dilaporkan kelmarin, menjadikan kes kumulatif kematian negara sebanyak 11,691 (0.87 peratus).

Sepanjang rangkuman mingguan 7 Ogos hingga 12 Ogos 2021, kes harian baharu yang dilaporkan seperti berikut: 7 Ogos (19,257 kes), 8 Ogos (18,688 kes), 9 Ogos (17,236 kes), 10 Ogos (19,991 kes), 11 Ogos (20,780 kes) dan 12 Ogos (21,668 kes).

SEBANYAK 318 lagi kes kematian dilaporkan kelmarin, kes kumulatif kematian negara kini mencecah 11,691.
SEBANYAK 318 lagi kes kematian dilaporkan kelmarin, kes kumulatif kematian negara kini mencecah 11,691.

Sehingga kelmarin, terdapat sebanyak 1,281 kluster aktif. Secara keseluruhannya, terdapat sebanyak 4,079 kluster dan sebanyak 2,798 daripadanya, ditamatkan.

Sementara itu, sepanjang tempoh rangkuman, berdasarkan laporan KKM, terdapat sebanyak 216 kluster baharu. Dua kluster iaitu kluster tempat kerja dan kluster komuniti mencatat angka terbanyak. Kluster tempat kerja sebanyak 120 kluster (55.5 peratus) dan kluster komuniti sebanyak 73 kluster (34.0 peratus).

Unit Rawatan Rapi (ICU) kini mengendalikan sebanyak 1,059 kes Covid-19 dan sebanyak 543 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dengan 1,342,215 kes kumulatif,Malaysia di tangga 27 dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Bangladesh (1,386,742) kes dan Kanada (1,445,303 kes).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pada 8 Ogos beberapa kemudahan kepada penerima vaksinasi lengkap yang memenuhi kriteria berikut:

a. Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mesti melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua; dan

b. Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mesti melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

Antara kemudahan termasuk:

*Pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia (termasuk PR dan Malaysia MY Second Home) yang pulang atau tiba dari luar negara dan telah mendapat vaksin dos lengkap, DIBENARKAN menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital.

*Pasangan suami isteri jarak jauh yang mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan rentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.

*Kemudahan bagi sektor sosial kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri-negeri dalam Fasa 2 dan seterusnya. Antaranya rentas daerah dan aktiviti dine-in dibenarkan

Maklumat lanjut mengenai kemudahan ini boleh diperoleh daripada https://www.pmo.gov.my/2021/08/teks-pengumuman-khas-berkenaan-kemudahan-...

Sementara itu, berdasarkan kenyataan akhbar KKM mengenai Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) Di Malaysia kelmarin, daripada sebanyak 21,668 kes harian baharu, tujuh negeri mencatat kes harian baharu empat angka, enam negeri mencatat kes tiga angka dan tiga negeri lagi, mencatat kes dua angka.

Dr Noor Hisham Abdullah dalam paparan di Facebook peribadinya berkongsi kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau ro/rt untuk sepanjang rangkuman seperti berikut: 7 Ogos (1.08), 8 Ogos (1,07), 9 Ogos (1.06), 10 Ogos (1.07),11 Ogos (1.06) dan 12 Ogos (1.05).

Negeri yang mencatat Ro/Rt tertinggi pada 11 Ogos adalah Perlis 1.33, Kelantan 1.20, Sabah 1.20.

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 6:40 AM