ORANG ramai terutama warga emas menanti giliran untuk mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 dikendalikan oleh Pusat Perubatan Menara (Menara Group) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Tapak Pesta, Sungai Nibong, kelmarin. FOTO Danial Saad
ORANG ramai terutama warga emas menanti giliran untuk mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 dikendalikan oleh Pusat Perubatan Menara (Menara Group) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Tapak Pesta, Sungai Nibong, kelmarin. FOTO Danial Saad
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kluster tempat kerja mula banyak dikesan sepanjang tempoh hampir seminggu lalu dengan yang paling banyak kes positif Covid-19, Kluster Dah Meha Industri Kulim, Kedah, dilaporkan kelmarin.

Kluster Dah Meha Industri Kulim (Kedah) melibatkan daerah Kulim, Baling, Kuala Muda dan Sik dan setakat kelmarin, sebanyak 133 kes positif dilaporkan.

Setakat rangkuman mingguan 4 Disember hingga 9 Disember 2021, berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), daripada 57 kluster yang direkod, sebanyak 35 kluster adalah kluster tempat kerja dengan 13 kluster dilaporkan kelmarin.

Jumlah kluster dua digit diumumkan oleh KKM kelmarin untuk tempoh rangkuman ini iaitu 17 kluster berbanding satu digit untuk hari-hari sebelumnya.

Sementara itu, kes harian baharu Covid-19 dalam negara meningkat melepasi 5,000 kes kelmarin iaitu sebanyak 5,446 kes, menjadikan kumulatif kes sebanyak 2,678,465 kes.

Kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan setakat pukul 11:59 malam 9 Disember 2021, sebanyak 60,856 kes.

Sepanjang tempoh rangkuman mingguan, data kes harian baharu adalah seperti berikut: 4 Disember (4,896 kes), 5 Disember (4,298 kes), 6 Disember (4,262 kes), 7 Disember ( 4,965 kes), 8 Disember (5,020 kes)dan 9 Disember (5,446 kes).

Dengan kes kumulatif 2,678,465 kes, Malaysia kekal di tangga 21 daripada 222 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Belanda 2,828,655 kes) dan Filipina (2,835,996 kes).

Daripada 5,446 kes baharu yang diumumkan kemarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hanya 88 kes (1.6 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; sementara 5,358 kes (98.4 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

KKM meletakkan pesakit Covid-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5. Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksijen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Jumlah kes pesakit Covid-19 yang sembuh kelmarin adalah sebanyak 5,427 kes, menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 2,586,822 kes (96.6 peratus).

Sebanyak 324 kes yang disahkan Covid-19 memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi setakat kelmarin dan 147 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Untuk kes kematian Covid-19 di Malaysia, setakat jam 11:59 malam, kelmarin, sebanyak 41 lagi kes dilaporkan, menjadikan kes kumulatif sebanyak 30,787 kes.

Sementara itu, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt sepanjang rangkuman mingguan masih bawah 1.00, seperti berikut: 4 Disember (0.97), 5 Disember (0.98), 6 Disember (0.99), 7 Disember (0.99), 8 Disember (0.98) dan 9 Disember (0.97).

Negeri yang mencatat Ro/Rt yang tinggi pada 9 Disember ialah Perlis (1.04), Melaka (1.03) dan Negeri Sembilan (1.03).

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Setakat kelmarin, Malaysia hanya mempunyai 254 kluster aktif. Untuk rekod, sebanyak 6,022 kluster dikesan di negara ini dan sebanyak 5,768 kluster daripadanya ditamatkan.

Sepanjang tempoh rangkuman mingguan Bernama (4 Disember-9 Disember 2021), berdasarkan data KKM, jumlah kluster baharu yang dilaporkan sebanyak 57 kluster. Kuster terbanyak, kluster tempat kerja, 35 kluster (61.4 peratus) dan kluster pendidikan, 16 kluster (28.0 peratus).

Untuk rekod, kluster pendidikan yang dikaitkan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melakia pada 20 November lalu iaitu Kluster Pulau Gadong, setakat kelmarin, meningkat kepada 137 orang (termasuk pelajar dan guru).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 7:11 AM