SEBANYAK 81 peratus atau 18,964,474 individu dewasa negara ini lengkap menerima dua dos vaksin setakat 22 September lalu.
SEBANYAK 81 peratus atau 18,964,474 individu dewasa negara ini lengkap menerima dua dos vaksin setakat 22 September lalu.

Kuala Lumpur Kes pesakit sembuh yang mengatasi kes harian baharu sepanjang tempoh rangkuman mingguan 18 September hingga 23 September 2021 membantu mengurangkan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dalam negara.

Angka kes sembuh paling tinggi dicatat pada Ahad 19 September sebanyak 23,469 kes berbanding kes harian baharu pada hari yang sama iaitu 14,954 kes.

Setakat Khamis 23 September 2021, Malaysia menanggung sebanyak 198,284 kes aktif Covid-19 berbanding 227,120 kes pada Khamis 16 September 2021.

Angka kes harian baharu Covid-19 sepanjang tempoh rangkuman mingguan meskipun masih empat angka, tetapi secara konsistennya di bawah 20,000 kes.

Paling rendah angka kes harian baharu Covid-19 untuk tempoh rangkuman mingguan ini adalah pada 23 September iaitu sebanyak 13,754 kes, menjadikan kumulatif kes Covid-19 kelmarin sebanyak 2,156,678 kes.

Untuk rekod, kes harian baharu sepanjang rangkuman mingguan adalah seperti berikut: 18 September (15,549 kes), 19 September (14,954 kes), 20 September (14,345 kes), 21 September (15,759 kes), 22 September (14,990 kes) dan 23 September (13,754 kes).

Berikut adalah rekod kes sembuh untuk tempoh rangkuman yang sama: 18 September (17,205 kes), 19 September (23,469 kes), 20 September (16,814 kes), 21 September (16,650 kes), 22 September (19,702 kes) dan 23 September (16,628 kes).

Malaysia menyasarkan untuk beralih ke fasa endemik Covid-19 pada penghujung Oktober 2021 seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, baru-baru ini.

Beliau turut mengingatkan supaya rakyat di negara ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelakkan berlakunya lonjakan kes Covid-19.

Pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi kementeriannya kelmarin, Khairy berkata, langkah pembendungan menerusi kaedah pemutus litar (circuit breaker) berkemungkinan dilaksanakan sekiranya sesuatu lokasi merekodkan penularan jangkitan secara luar biasa.

Menurut beliau, pertimbangan berhubung perkara berkenaan belum dimuktamadkan namun ia dijangka perlu dilaksanakan ketika Malaysia sedang beralih ke fasa praendemik.

Meskipun bakal menjejaskan tahap sosioekonomi dan kesihatan mental, beliau menjelaskan langkah pembendungan mirip Singapura itu akan dilaksanakan dalam tempoh singkat.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kelmarin, pembukaan pusat dan kawasan pelancongan serta aktiviti rentas negeri akan dibenarkan apabila kadar vaksinasi negara mencapai 90 peratus populasi dewasa.

Setakat 22 September 2021, sebanyak 81 peratus atau 18,964,474 individu dewasa negara ini lengkap menerima dua dos vaksin.

Dengan kumulatif kes 2,156,678, Malaysia kini di tangga 21 daripada 223 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia adalah Peru (2,169,427 kes) dan Ukraine (2,370,425 kes).

Kes kematian akibat Covid-19 dalam negara direkod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 23 September adalah 116 kes, menjadikan jumlah kematian sebanyak 24,681 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataan akhbar mengenai Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Corovirus 2019 (Covid-19) di Malaysia kelmarin, daripada 13,754 kes harian baharu yang dilaporkan semalam, sebanyak 233 kes (1.7 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5. Sebanyak 13,521 kes (98.3 peratus) tergolong dalam kategori 1 dan 2.

Mengenai kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt untuk sepanjang rangkuman mingguan ini, ia masih di bawah kadar 1.0 seperti berikut: 18 September (0.94 kes), 19 September (0.92 kes), 20 September (0.93 kes), 21 September (0.95 kes), 22 September (0.92 kes) dan 23 September (0.90 kes).

Negeri yang mencatat Ro/Rt yang tinggi pada 23 September adalah Pahang (1.05), Perlis (1.01) dan Johor (0.99).

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 7:00 AM