URUSKAN jadual sebaiknya demi karier.
URUSKAN jadual sebaiknya demi karier.
Ridzuan Abdul Rahman


BUKAN tamak atau mengejar populariti, sebaliknya Hawa Rizwana Ahmad Redzuan menganggap tawaran bergelar penyampai radio Buletin FM yang dahulunya dikenali Kool FM ibarat peluang keemasan yang sukar dilepaskan.

Hawa, 26, mengakui dia sememangnya seorang yang bercita-cita tinggi dan setiap peluang yang diberikan kepadanya pasti dimanfaatkan sehabis baik.

"Isunya bukan kerana tamak atau apa-apa saja. Sebabnya pada waktu ini, umur ini yang kita kena ambil setiap peluang dan belajar sesuatu yang baharu dalam hidup.

"Bila kita sihat, bila kita bertenaga, kita guna tenaga yang ada itu sehabis baik demi rezeki untuk diri sendiri, keluarga dan masa depan.

"Kita kongsikan ilmu yang kita ada pada orang. Bukanlah saya kata, saya ini berilmu sangat kerana saya pun masih kena banyak belajar lagi," katanya.

Menurut Hawa, peluang yang diberikan itu juga ialah rezeki Allah kepadanya.

"Saya rasa, saya kena gunakan platform dan peluang yang saya ada untuk kongsi dengan masyarakat Malaysia apa yang terbaik.

"Apa-apa kata motivasi yang pernah didengar dan sering dikatakan kepada saya, akan dikongsikan juga dengan pendengar.

"Begitu juga maklumat yang bermanfaat, saya nak kongsikan dengan pendengar. Insya-Allah kita sebagai manusia, memang bila ada rezeki akan sedia berkongsi dengan orang lain juga," katanya.

Hawa bergandingan dengan pengacara Ally Iskandar bertugas mengendalikan segmen pagi di Buletin FM sejak Isnin lalu.

"Pada awalnya, memang rasa kekok sebab tak biasa lagi kerja di konti radio. Saya dan Ally, kami berdua baharu pertama kali dekat radio.

"Perasaan teruja itu ada, tapi dalam seminggu ini setiap hari kami umpama dalam eksperimen untuk membentuk keserasian dan buat eksperimen untuk cara sesuai menyampaikan isi kandungan kepada pendengar.

"Sebabnya waktu pagi kalau boleh kita nak orang teruja, gembira dan rasa bermotivasi apabila mendengar radio. Itu matlamat kami untuk segmen pagi di Buletin FM," katanya.

Hawa berkata, fokus mereka ialah memberikan info kepada pendengar dan bukan nak menyampaikan berita semata-mata.

"Kami nak masyarakat Malaysia atau pendengar tahu apa yang mereka boleh belajar daripada sesuatu berita itu dan bagaimana juga mereka boleh menjadi seorang yang lebih baik apabila dengar setiap info yang dikongsikan.

"Namun, kandungan kami bukan semuanya berkenaan info terkini saja buat pendengar, tapi lebih menyeluruh dan menarik.

"Kami juga akan kongsi berkenaan muzik yang bagus kerana Buletin FM objektifnya ialah info terkini dan muzik sepanjang zaman," katanya.

Tanpa berselindung, Hawa juga mengakui ada perbezaan bersiaran di radio berbanding muncul di kaca TV yang sudah menjadi kebiasaan bagi dirinya.

"Bezanya memang ketara, sebab kalau di TV kita tengok kamera dan bayangkan bercakap dengan penonton yang aktif. Maksudnya, mereka boleh nampak kita.

"Tapi, bila di radio, hanya suara yang menjadi tumpuan dan pendengar tak boleh bayangkan apa yang kita nak cakap tanpa ada visual.

"Jadi kita kena pandai berceloteh supaya pendengar boleh bayangkan apa yang kita cakapkan itu dan mesej sampai secara terus kepada mereka," katanya.

HAWA memanfaatkan peluang yang datang selagi ada rezeki dan kesihatan yang baik.
HAWA memanfaatkan peluang yang datang selagi ada rezeki dan kesihatan yang baik.

Hawa yang awalnya kekok juga ketika bersiaran, sangat bersyukur kerana digandingkan dengan Ally yang berpengalaman luas.

"Banyak yang saya belajar, selain tip yang Ally kongsikan banyak membantu. Alhamdulillah pengalaman saya sebagai pembaca berita, pengacara Wanita Hari Ini (WHI) dan Hello Doktor sangat membantu untuk cara penyampaian di radio.

"Cuma, di radio kita kena dengan lebih ringkas dan menyeronokkan supaya pendengar dapat faham apa yang kita cakap. Kesilapan kecil itu sesekali memang ada berlaku, sebab kita belum mahir bagaimana rentak bekerja di radio.

"Misalnya kalau di TV, kita boleh cakap kepada penonton jangan ke mana-mana. Tapi, sebaliknya di radio orang memang dengar dari mana-mana. Jadi, kebanyakan kesilapan begitu dilakukan," katanya.

Cara kerja berbeza

Sebagai insan biasa, Hawa mengakui dia juga pernah sesekali melakukan kesilapan di kaca TV, namun tidak begitu ketara.

"Alhamdulillah, kesilapan itu yang buat kita perbaiki diri supaya jadi lebih baik hari demi hari. Tipu kalau saya cakap, tak buat kesalahan langsung.

"Berkenaan jadual kerja, saya akan uruskan sebaiknya untuk tempoh beberapa hari sebelum dapat jadual untuk bulan yang baharu.

"Di sini saya akan susun jadual bertugas di radio, program WHI serta penyampai berita di Buletin Utama. Manakala, pada Ahad dalam sebulan sekali atau dua kali pula untuk mengacarakan Hello Doktor.

"Memang saya akan tulis dan rujuk setiap hari, dari siang hingga malam kerana bimbang takut terlepas jadual kerja penting," katanya.

Tugas sebagai penyampai radio menuntut Hawa bangun seawal jam 3 pagi atau 3.30 pagi kerana dia perlu berada di pejabat tepat jam 5 pagi.

"Sebab Buletin FM tampil dengan berita terkini. Jadi, kami kena selalu 'up to date' dan buat persediaan awal.

"Elok saya sampai di konti radio tepat pada masanya kerana saya masih baharu dan banyak yang kena belajar. Apapun, syukur maklum balas yang diterima sangat bagus.

"Semua kawan dan keluarga saya sangat menyokong. Saya bersyukur kebanyakan komen diterima juga banyak yang memberi semangat supaya saya buat sehabis baik," katanya.

Hawa bagaimanapun, mengakui keluarganya turut bimbang mengenai keadaan kesihatannya, namun dia tegaskan tetap mempunyai masa tidur dan rehat yang cukup hasil membuat susunan jadual kerja yang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 6:00 AM